AM > BERITA

DOF Wajibkan Pemasangan Kod QR Ke Atas Semua Vesel Zon C2

20/08/2024 10:43 PM

KUANTAN, 20 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan mewajibkan pemasangan dan pelaksanaan Kod Quick Response (QR) ke atas semua vesel yang beroperasi di Perikanan Tangkapan Laut Dalam (Zon C2) mulai 2026, kata Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata pemasangan kod QR itu juga, seterusnya akan diperluaskan kepada vesel penangkapan ikan Zon C dan pelaksanaannya bersama Sistem Identifikasi Vesel (SIV), akan membantu jabatan membanteras nelayan asing mengaut hasil perikanan negara secara haram. 

“Pelancaran SIV telah membantu DOF membanteras perikanan  secara haram, yang tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU) di Malaysia, seperti isu pengklonan vesel tempatan dan ketirisan sumber perikanan ke negara jiran dapat dibendung.

“Ini terbukti melalui kes tangkapan yang berlaku pada Januari, 2022 di negara Thailand melibatkan lima buah vesel tempatan yang ditahan penguat kuasa negara tersebut, yang pengecaman empat buah vesel penangkapan ikan tempatan itu telah dikenal pasti DOF dan disahkan melalui plat Kod QR yang dipasang ke atas vesel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan telah melancarkan sistem berkenaan melalui teknologi kod QR yang dipasang di vesel penangkapan ikan laut dalam di Majlis Perundingan industri (MPI) peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau berkata SIV dibangunkan DOF bagi menentukan ketulenan vesel tempatan dengan kos sebanyak RM602,500 pada 2020 dan diperluaskan sehingga 2024 dengan penambahbaikan dari segi ketahanan dan reka bentuk keselamatan tahan lasak terhadap perubahan cuaca serta persekitaran marin.

Sementara plat kod QR versi 2.0, beliau berkata ia dinaik taraf dan telah diuji ketahanan di makmal Jabatan Bioproses dan Teknologi Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Sebanyak 301 vesel daripada 500 vesel C2 di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Sarawak dan Wilayah Persekutan Labuan, telah dipasang dengan sistem berkenaan.

“Pemantauan dibuat oleh DOF dan agensi penguatkuasaan melalui aplikasi SIV yang diintegrasi dengan sistem jabatan sedia ada iaitu Sistem Rekod Vesel Menangkap Ikan Malaysia (MFVR) dan e-Lesen, yang boleh membantu menentukan ketulenan vesel tempatan yang dilesenkan oleh DOF,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan