AM > BERITA

Pameran MATTA 2024 Sasar Kehadiran Lebih 200,000 Pengunjung

21/08/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2024 pada 6 hingga 8 Sept ini disasar menjana perolehan jualan sekitar RM250 juta.

Presiden MATTA Nigel Wong berkata pihaknya menjangkakan lebih 200,000 pengunjung ke pameran di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu, berdasarkan kehadiran memberangsangkan pada edisi lepas.

Beliau turut mengumumkan syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu  Malaysia Airlines dan Firefly sebagai syarikat penerbangan rasmi dan penaja utama Pameran MATTA 2024.

“Kerjasama strategik ini menyerlahkan komitmen berterusan MATTA untuk meningkatkan tawaran-tawaran pada pameran ini, memberikan pengunjung akses eksklusif kepada promosi dan pilihan perjalanan terbaik di pasaran,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pameran MATTA 2024 bermula dari 10 pagi hingga 9 malam dengan kemasukan percuma selain penganjur turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik percuma ke MITEC dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran berkata pihaknya berbesar hati  untuk terus menyokong pameran pelancongan terbesar di Malaysia itu dengan menawarkan tawaran-tawaran eksklusif termasuk diskaun 30 peratus bagi tambang penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa.

“Kerjasama strategik ini mencerminkan dedikasi kami untuk meningkatkan sektor pelancongan, menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk untuk Asia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan