Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Pecah Rumah Tan Sri

21/08/2024 06:58 PM

SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah rumah melibatkan kediaman pegawai kerajaan bergelar Tan Sri di taman perumahan di Nilai Impian, Nilai di sini, 13 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata lelaki tersebut dikenali sebagai Julian Said, 37, dengan alamat terakhir di Kampung Tawadakan, Kota Belud, Sabah.

Beliau berkata ia susulan penahanan dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terlibat dengan kes tersebut, Jumaat lepas.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu pada 1.10 tengah hari. Hasil siasatan mendapati terdapat tiga suspek termasuk dua lelaki yang ditahan terlibat dalam kejadian itu. 

“Terdapat beberapa barangan hilang yang dianggarkan berjumlah RM5,000. Siasatan turut mendapati terdapat kesan umpil pada geriji pintu utama serta pintu masuk utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian daripada barang itu ditemui semula susulan penahanan dua lelaki tersebut dan semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap mereka mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

Sehubungan itu, Abdul Malik berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Julian diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Afandi Othman ditalian 019-8156812.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan