AM > BERITA

Kembara Islamik Negeri Perak Penuhi Cita Rasa Pelancong Muslim

22/08/2024 11:43 PM

IPOH, 22 Ogos (Bernama) -- Perak kini melangkah setapak ke hadapan dalam industri pelancongan dengan pelancaran Pakej Mesra Muslim Kembara Islamik yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di sini pada Rabu bersempena dengan Bulan Pelancongan Islamik dan Tahun Melawat Perak 2024.

Pakej Kembara Islamik ini adalah inisiatif terkini yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim dari dalam dan luar negara.

Pakej ini menawarkan pelbagai destinasi menarik di seluruh negeri Perak yang mengetengahkan sejarah, budaya dan warisan Islam yang kaya.

Antara tarikan utama dalam pakej ini termasuklah lawatan ke masjid-masjid bersejarah, pusat-pusat pendidikan Islam serta tempat-tempat bersejarah yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Islam di negeri ini.

Dalam ucapannya, Saarani menyatakan inisiatif pakej mesra Muslim ini bukan sahaja memperkukuhkan status Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan, tetapi juga memperlihatkan komitmen negeri ini dalam mempromosikan pelancongan yang menghormati dan memelihara nilai-nilai Islam.

Pakej Kembara Islamik turut disertakan dengan kemudahan-kemudahan mesra Muslim seperti penyediaan makanan halal, kemudahan solat dan penginapan yang mematuhi syariah.

Ini adalah sebahagian daripada usaha negeri Perak untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim yang mencari pengalaman pelancongan yang selari dengan kepercayaan mereka.

Pelancaran ini dijangka dapat merancakkan lagi industri pelancongan Perak dengan sasaran untuk menarik lebih ramai pelancong dari negara-negara rantau Asia Tengara termasuk dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

Dengan pelbagai tawaran menarik yang disediakan, pakej ini tidak hanya tertumpu kepada aspek keagamaan, tetapi juga menggalakkan pelancong untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan budaya tempatan yang unik di negeri ini.

Pakej 3 Hari 2 Malam Kembara Islamik ini telah diinovasikan dengan kerjasama Islamik Tourism Centre, Tourism Perak, Masjid Muadz Bin Jabal Setiawangsa dan Santai Travel.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri pelancongan termasuk wakil-wakil daripada agensi pelancongan, pengusaha hotel, serta pihak media.

Pihak kerajaan negeri Perak berharap dengan pelancaran Pakej Kembara Islamik ini, Perak akan terus dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bukan sahaja indah dari segi alam semulajadi, tetapi juga kaya dengan nilai-nilai murni Islam yang dapat menarik pelancong dari pelbagai latar belakang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan