SUKAN > BERITA

Piala Shopee: Haqimi Azim Pacu KL City Cipta Kemenangan Sulung

23/08/2024 12:32 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur City (KL City) FC memulakan kempen edisi sulung Piala Shopee 2024/2025 dengan langkah kanan selepas menang tipis ke atas juara Liga Bola Sepak Filipina, Kaya FC-Iloilo, 1-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Penyerang muda Muhammad Haqimi Azim Rosli muncul wira skuad warga kota apabila jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-12 sudah cukup memberikan tiga mata penuh buat mereka.

Pasukan lawan kendalian Yu Hoshide memiliki lebih daripada 50 peratus penguasaan bola sepanjang perlawanan namun mereka ternyata gagal untuk merobek gawang KL City yang dibimbing Miroslav Kuljanac.

Aksi Kumpulan B yang lain menyaksikan Cong An Ha Noi FC dari Vietnam menewaskan kelab Thailand, Buriram United FC, 2-1, manakala Borneo FC Samarinda dari Indonesia membenam Lion City Sailors FC dari Singapura, 3-0.

Hanya dua kumpulan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir dalam pertandingan yang menghimpunkan kelab dari Asia Tenggara tersebut.

Saingan separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik akan berlangsung pada 2 dan 30 April depan manakala final yang turut berlangsung dalam format sama pula pada 14 dan 21 Mei 2025.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan