AM > BERITA

SIRIM Labuhkan 20 Tukun Inovasi Di Perairan Telok Mas

22/08/2024 06:14 PM

MELAKA, 22 Ogos (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini melabuhkan 20 tukun inovasi di perairan Telok Mas di sini, melibatkan peruntukan berjumlah RM160,500.

SIRIM, dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif dilaksanakan menerusi dana di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu merupakan usaha untuk mewujudkan habitat ikan baharu serta membantu nelayan mempertingkat hasil tangkapan. 

"Peruntukan dana di bawah YIM, sebuah yayasan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu disalurkan menerusi program Inisiatif Inovasi Sosial (MyIS Komuniti) bagi merealisasikan pembangunan tukun inovasi ini dan seterusnya memberi manfaat secara terus kepada nelayan setempat.  

"Tukun inovasi yang dilabuhkan adalah mesra alam kerana menggunakan bahan campuran seramik serta konkrit dan sifat bahan seramik yang ‘inert’ atau bersifat neutral, tidak mudah bertindak balas dengan persekitaran sekali gus tidak akan menjejaskan sistem eko marin, malah dapat membantu menarik pengumpulan dan pembiakan ikan di persekitaran," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan projek pembangunan tukun inovasi yang menggunakan bahan mesra alam bermula pada 1 Sept tahun lepas dan ia selaras dengan komitmen agensi itu dalam melaksanakan prinsip berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memelihara alam sekitar. 

SIRIM menambah, perairan Telok Mas dipilih sebagai lokasi melabuhkan tukun inovasi kerana kawasan itu belum terjejas dengan pembangunan projek tambakan dan aktiviti pelabuhan. 

Kenyataan itu turut memaklumkan, selain Melaka, tukun inovasi itu juga dilabuhkan di beberapa tempat sekitar perairan negara seperti Pulau Kendi di Pulau Pinang, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian di Terengganu, serta Batu Sapi dan Pulau Sebatik di Sabah.

Majlis melabuhkan dan penyerahan projek tukun di perairan Telok Mas disaksikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ketua Pegawai Teknologi SIRIM Industrial Research Dr Muhammad Izzal Ismail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan