AM > BERITA

Keluarga Polis Teruskan Legasi Rentas Tiga Generasi

23/08/2024 12:27 AM

BACHOK, 22 Ogos (Bernama) -- Selama 34 tahun menabur bakti sebagai anggota polis, bekas Sarjan Hussin Deris, 76, amat berbangga apabila anak sulungnya Supt Ahmad Shafiki, 51, turut mengikut jejak menyarung seragam “Sang Saka Biru” itu. 

Lebih membanggakan Hussin apabila anaknya itu yang kini menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Machang, adalah generasi ketiga polis dalam keluarga mereka iaitu selepas beliau dan bapanya sendiri, Allahyarham Koperal Deris Said.

“Sebelum saya dan anak sulung, bapa saya sudah terlebih dahulu berkhidmat dalam pasukan polis iaitu ketika negara belum mencapai kemerdekaan.

"Dua lagi anak saya Kamarul Hisham dan yang bungsu, Mohamad Abdul Hakim masing-masing juga anggota pasukan keselamatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta, Perak,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Bachok, Supt Mohamad Ismail Jamaluddin semasa Program Santuni Pesara Polis Sempena Bulan Kemerdekaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di Kampung Alor Bakat di sini hari ini.

Beliau yang mesra dengan panggilan 'Pok Nik Hussin' berkata abangnya, Abu Hassan Deris, 78, turut menganggotai pasukan polis.

Mengimbau kenangan semasa bertugas, beliau berkata pengalaman paling ngeri apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam lebih 17 meter di Bukit Fraser, Pahang, ketika mengiringi Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971.

“Ketika itu saya baru sahaja menyertai pasukan polis bersama beberapa lagi rakan, walaupun tidak mengalami kecederaan parah tetapi cukup bimbang kerana kami tahu kawasan tersebut banyak pengganas komunis.

“Seingat saya, kenderaan yang dinaiki tenggelam dalam air separas lutut dan saya hanya tersedar daripada pengsan selepas hidung dimasuki air,” katanya yang memulakan kerjaya polis ketika berusia 22 tahun dan bersara pada 2004 ketika usia 56 tahun.

Hussin berkata beliau juga pernah diugut tembak oleh seorang lelaki ketika bertugas di Jerangau, Ulu Dungun, Terengganu berikutan ketegasannya tidak mahu bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau bersyukur kerana sepanjang perkhidmatan tidak mengalami kecederaan parah, namun sedih mengenang ada rakan sepasukan yang meninggal dunia dan cacat anggota badan akibat terkena jerangkap samar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan