AM > BERITA

Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya Tangani Masalah Populasi - NRES

23/08/2024 01:33 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (MTCAP) 2021–2030 dibangunkan untuk menangani krisis populasi Harimau Malaya dan menstabilkan jumlah kumpulan haiwan itu kepada 400 ekor menjelang 2030.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Pelaksanaan Harimau Kebangsaan (MyTWG) yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan melaporkan status pelaksanaan tindakan pelan berkenaan kepada MyTWG dan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF)," menurut NRES dalam kenyataan di sini hari ini.

NRES memberitahu selain pembentangan dua Kertas Pertimbangan dan satu Kertas Makluman merangkumi inisiatif memperkukuh usaha konservasi spesies Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia, mesyuarat MyTWG juga mengambil perhatian penglibatan negara ini menganggotai International Big Cat Alliance (IBCA).

IBCA iaitu inisiatif baharu peringkat antarabangsa yang diterajui oleh kerajaan India mengetuai dan mengkoordinasikan perlindungan dan pemuliharaan spesies kucing besar termasuk harimau, singa, harimau bintang, harimau bintang salji, puma, jaguar dan citah untuk penyebaran maklumat mengenai amalan terbaik dan pembangunan kapasiti modal insan.

Selain itu, ia juga mewujudkan repositori sumber, peluang penyelidikan dan pembangunan, serta kesedaran awam dan sebagainya untuk perlindungan dan pemuliharaan spesies kucing besar.

Menurut NRES, Operasi Bersepadu Khazanah bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan pemburuan hidupan liar secara haram yang digerakkan oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, pihak berkuasa negeri dan pertubuhan bukan kerajaan telah mencatatkan kejayaan.

"Bermula 2021 hingga Julai 2024, operasi itu berjaya melakukan 354 tangkapan warganegara Malaysia dan 73 warga asing melibatkan sitaan berjumlah RM150 juta termasuk tangkapan empat warga Kemboja di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah pada 4 Jun 2024," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, seluas 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu telah diwartakan di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan melalui instrumen Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang menyumbang kepada pengukuhan pemuliharaan habitat Harimau Malaya di peringkat negeri.

Bagaimanapun, pada masa sama, insiden kematian Harimau Malaya akibat konflik dengan manusia amat membimbangkan yang merekodkan lima kematian termasuk menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan sembilan ekor harimau telah ditangkap di kawasan konflik.

"Kejadian itu menunjukkan bahawa habitat Harimau Malaya terganggu sehingga menyebabkan haiwan terbabit terpaksa keluar daripada habitat semula jadi," menurut kenyataan itu.

NRES percaya kesepakatan kerajaan Persekutuan dan negeri dalam mengukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ikonik negara Harimau Malaya akan menjadi pencetus untuk melaksanakan lebih banyak tindakan luar biasa.

"Hal ini penting untuk mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara itu tidak pupus buat selama-lamanya," menurut kementerian itu.

MyTWG yang dihadiri Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili negeri rayauan harimau iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, dan Terengganu, ialah usaha untuk mengukuhkan pelaksanaan dan memantau tindakan strategik konservasi Harimau Malaya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan