AM > BERITA

Gerakan Koperasi Perlu Kekal Kreatif, Berinovasi Dalam Dunia Perniagaan - Ramanan

23/08/2024 04:32 PM

SUNGAI BULOH, 23 Ogos (Bernama) -- Gerakan koperasi perlu terus mencari idea baharu untuk kekal relevan dan menarik minat lebih ramai pelanggan, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.

Beliau berkata koperasi tidak boleh lagi beroperasi secara konvensional dan perlu lebih kreatif serta berinovasi memandangkan dunia perniagaan semakin kompetitif pada masa kini.

“Gerakan koperasi berperanan penting sebagai antara penyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kini melalui pembangunan aspek sosial dan kebajikan anggota, selain membasmi kemiskinan dan pengagihan kekayaan negara.

“Oleh itu, anggota lembaga dan pengurusan koperasi perlu memantapkan lagi ilmu mereka melalui kursus dan latihan yang ditawarkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta agensi lain untuk menjamin kejayaan sektor koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 peringkat negeri Selangor yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata Selangor mempunyai jumlah koperasi berdaftar yang tertinggi dalam negara dengan 2,115 koperasi melibatkan sebanyak 648,633 keahlian hingga Disember tahun lepas.

"Ini dikukuhkan lagi dengan kedudukan aset secara keseluruhannya berjumlah RM2.69 bilion yang menjana modal syer atau yuran sebanyak RM785 juta manakala jumlah perolehan pula adalah sebanyak RM706 juta," katanya.

Beliau berkata pelbagai insentif, geran dan pembiayaan ditawarkan kepada koperasi untuk memberi galakan dalam merancakkan aktiviti perniagaan. 

Dalam pada itu, Ramanan menyeru koperasi yang memerlukan supaya memohon bantuan dalam mengembangkan operasi dan perkhidmatan melalui Bantuan Pembangunan Perniagaan SKM dan Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM).

Penganjuran HKN 2024 ialah satu daripada acara pengisian sambutan Bulan Koperasi Kebangsan (BKK) pada Julai setiap tahun untuk memupuk kesedaran berkoperasi dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memperkasakan semangat kerjasama dan solidariti.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan