AM > BERITA

Penangguhan Hak Wakil Guaman Wira Dani Berlandaskan Undang-undang - SPRM

23/08/2024 07:19 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Penangguhan hak wakil guaman terhadap anak bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Wira Dani semasa proses rakaman percakapan dilakukan berlandaskan undang-undang, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil kerana pegawai penyiasat suruhanjaya berkenaan percaya bahawa kehadiran peguam kepada Wira Dani boleh menjejaskan siasatan.

Wira Dani telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam siasatan yang sedang dijalankan suruhanjaya itu, semalam.

Menurut SPRM, terdapat keputusan kes duluan yang membenarkan penangguhan sementara hak wakil guaman semasa prosedur siasatan tertentu seperti dalam keputusan kes SPRM dan lain-lain melawan Latheefa Beebi Koya dan satu lagi (2017), yang menetapkan bahawa Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin hak wakil guaman semasa rakaman keterangan saksi. 

"Malah, mahkamah mendapati tiada asas undang-undang atau perlembagaan untuk kehadiran peguam semasa rakaman keterangan kerana Akta SPRM 2009 tidak memperuntukkan hak itu," menurutnya kenyataan berkenaan.

Menurut SPRM, walaupun Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak perwakilan peguaman dalam prosiding jenayah, ia tertakluk kepada pengecualian dan had tertentu. 

SPRM memberi contoh kes Datuk Hasanah Ab Hamid melawan SPRM dan Kerajaan Malaysia (2019) dengan Hakim Datuk Nordin Hassan menegaskan bahawa hak untuk mendapatkan wakil guaman boleh dikenakan sekatan sementara jika ia mengganggu siasatan. 

Oleh itu, SPRM menegaskan suruhanjaya itu menjalankan fungsi dan tugasannya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan komited untuk menghormati hak undang-undang individu yang terlibat dalam kes yang sedang disiasat. 

"SPRM tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk menghalang wakil guaman dan sentiasa mematuhi undang-undang dalam semua proses siasatannya," menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, peguam kepada Wira Dani, Rajesh Nagarajan mendakwa anak guamnya dinafikan hak untuk diwakili peguam semasa dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes melibatkan ayahnya.

Pada 29 Jan lepas, Daim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan