BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM > BERITA

Sabah Serah 444 Geran Tanah Anak Negeri Kepada Penduduk Kudat

24/08/2024 08:00 PM

KUDAT, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini menyerahkan sejumlah 444 geran tanah anak negeri kepada penduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Kudat melibatkan jumlah keluasan 1,130.09 hektar.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dengan penyerahan geran tanah itu, kerajaan berharap ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan memberikan mereka peluang untuk membangunkan tanah tersebut demi masa depan yang lebih cerah.

“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan geran tanah yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di Pintasan, Kota Belud.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan. Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedar selepas majlis penyerahan geran berkenaan kepada penerima, sempena Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus di Kudat hari ini.

Pemberian geran itu melibatkan tanah dalam kawasan DUN Matunggung; DUN Tanjong Kapor dan; DUN Banggi.

Hajiji seterusnya menekankan pentingnya membawa pembangunan di daerah berkenaan, dan beliau turut memaklumkan rancangan untuk membangunkan sebuah taman perindustrian yang baharu di Kudat.

Beliau berkata pengwujudan taman perindustrian di Kudat dilihat sesuai kerana daerah ini mempunyai pelbagai kemudahan yang sedia ada termasuk laut yang dalam dan pelabuhan, selain lokasi yang strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun.

“Justeru amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan pembinaan taman perindustrian, yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk dan daerah ini.

“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan kita sudah kenal pasti kawasan terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan rakyat yang mungkin terlibat tanahnya,” tambahnya.

Mengenai program hari ini Hajiji berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 merupakan pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan