BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 AM > BERITA

Orang Ramai Dijemput Hadir Meriahkan Hari Kebangsaan 2024 Di Putrajaya - Teo

28/08/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya Sabtu ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke Dataran Putrajaya, sebanyak 80 bas ulang-alik (shuttle bus) akan disediakan secara percuma dengan kekerapan masa selama 15 minit pada hari berkenaan.

Beliau berkata perkhidmatan yang beroperasi bermula 4 pagi hingga 2 petang itu melibatkan tiga lokasi iaitu Terminal D, Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 (laluan 1); Putrajaya PICC, Presint 5 ke GDC Plant 4, Presint 4 (laluan 2); dan Taman Botani, Presint 1 ke Dataran Putra Presint 1 (laluan 3).

"Bilangannya ialah 80 bas ulang-alik, jadi kita rasa ia lebih daripada cukup. Selain itu, MRT Laluan Putrajaya juga akan berkhidmat 24 jam sepanjang hari itu.

"Selain itu, keistimewaan yang dibawakan untuk tahun ini ialah perkhidmatan teksi air melibatkan beberapa lokasi mengambil penumpang. Saya harap orang ramai boleh mengambil kesempatan ini untuk menggunakan perkhidmatan khas itu bersempena dengan Hari Kebangsaan," katanya.

Teo berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada program pengedaran dan kibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Little India Brickfields di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan teksi air itu meliputi laluan Jeti Ayer@8 Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2 (laluan 1); Jeti Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2 (laluan 2); dan Jeti Marina Putrajaya, Presint 5 ke Jeti Anjung Floria, Presint 4 (laluan 3) dengan kekerapan masa masing-masing selama 10, 15 dan 20 minit.

Perkhidmatan teksi air, katanya akan mula beroperasi seawal pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari dan disediakan secara percuma kepada para pengunjung.

Mengenai program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, beliau berkata inisiatif itu dilihat menerima sambutan yang baik apabila jumlah premis perniagaan dan kediaman yang mengibarkan Jalur Gemilang semakin meningkat menjelang 31 Ogos ini.

"Malah, saya rasa rakyat Malaysia tidak perlu tanggalkan Jalur Gemilang selepas 31 Ogos kerana sambutan Bulan Kebangsaan ialah hingga 16 September ini iaitu Hari Malaysia. Jadi, saya rasa ia peluang yang bagus untuk kita pamerkan semangat patriotisme terhadap negara," katanya.

Terdahulu, Teo turut meluangkan masa kira-kira 40 minit mengedarkan Jalur Gemilang, selain beramah mesra dengan komuniti dan penjaja di sekitar Little India Brickfields bagi memeriahkan suasana menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan