AM > BERITA

Tanah Jerlus: JBPM Kesan Objek Terhalang, Operasi SAR Diteruskan Pada 2 Pagi

28/08/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke lokasi kejadian petang semalam selain pengesanan kamera.

“Daripada penghiduan, pasukan K9 kita nampak macam ada kecenderungan ke arah situ, jadi kita akan berusaha untuk mencari di kawasan berkenaan. 

“Ini hasil daripada penghiduan semalam... melalui kamera juga nampak ada halangan, mungkin mangsa tersangkut dan sebagainya, jadi kita nak buat carian di situ,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Beliau berkata pada masa ini, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan bagi memudahkan pergerakan penyelam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM.

Ahmad Izram berkata operasi dengan kaedah selaman itu akan dimulakan pada 2 pagi melibatkan lapan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik. 

“Kita lakukan operasi ini pada 2 pagi kerana kita jangkakan paras air kumbahan akan kurang dari satu meter berbanding kebiasaannya, paras air ketika ini pada ketinggian 1.5 meter dengan kelajuan tiga knot. Kelajuan ini menandakan air deras dan merisikokan penyelam.

“Kita ambil inisiatif untuk periksa di lurang kumbahan itu kerana ada ruang kecil antara dinding lurang kumbahan dengan paip saluran air kumbahan, kemungkinan ada objek tersekat di ruang berkenaan,” katanya sambil menambah Denti dan Frankie akan dibawa turun bersama bantuan kamera serta penyelam apabila air kumbahan surut.

Beliau berkata kedua-dua anjing baka English Springer Spaniel itu dibawa turun untuk membantu mencari mangsa kerana mempunyai daya pengesanan dalam air yang baik.

Ahmad Izram berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih melakukan pemeriksaan di kesemua lurang ketika ini dan usaha pencarian mangsa akan diteruskan dengan pelbagai kaedah serta kepakaran yang ada.

Insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi SAR memasuki hari keenam hari ini.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam ini memaklumkan pasukan JBPM telah masuk ke saluran kumbahan secara huluan dari lurang kumbahan di Wisma Yakin di sini.

Selain itu, kerja-kerja shoring (sistem sokongan sementara) secara manual dan kerja-kerja penggalian juga telah dilaksanakan.

Menurut DBKL, kerja-kerja mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains diteruskan serta disambung esok.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa laluan ditutup dari Pondok Polis Jalan Masjid India hingga ke Semua House bagi kelancaran operasi SAR di lokasi kejadian dan orang ramai dinasihat supaya mengurangkan pergerakan di kawasan tersebut.

Tinjauan Bernama setakat 10.30 malam ini mendapati lokasi kejadian dipenuhi beberapa lori yang membawa peralatan dipercayai untuk proses menyedut air kumbahan bagi memudahkan operasi pencarian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan