AM > BERITA

Merdekakan Jiwa Daripada Penyebaran Kandungan, Komen Jelek - Fahmi

30/08/2024 08:56 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia harus berusaha ‘memerdekakan jiwa’ daripada penyebaran konten dan komen yang jelek yang boleh menyakitkan hati orang lain, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata walaupun rakyat Malaysia bebas menyampaikan pandangan namun penting bagi mereka untuk mempunyai adab ketimuran dan sentiasa mengamalkan tata susila yang baik.

“Bagi rakyat beragama Islam kita harus berbalik kepada Al-Quran dan hadis dan pada rakyat bukan beragama Islam kita harus berpegang teguh kepada Rukun Negara, dan prinsipnya iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” beliau berkata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Ummah Ikhlas, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata apabila meneliti aduan-aduan yang diterima, kebanyakan akaun yang mengeluarkan kata-kata jelek ini didapati merupakan akaun palsu.

Sementara itu Fahmi berkata beliau secara peribadi ingin melihat majlis seperti #QuranHour dimasukkan ke dalam kalendar tahunan bagi Bulan Kebangsaan.

“Program ini cukup baik dan mempunyai pengisian yang amat bermakna. Peringatan yang tepat pada masanya dan kita harap dapat memberi manfaat bukan hanya dalam acara tahun ini tetapi tahun-tahun akan datang Insya-Allah”.

Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya tahun ini dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.

Program itu turut disiarkan secara langsung di Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama TV, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama, dari pukul 10 hingga 11 pagi.

Malaysia #QuranHour dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi lain seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan, selain melibatkan institusi pengajian tinggi tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan