AM > BERITA

Wahab Hasilkan Seni Halus Dalam Pembuatan Perahu Panjang Untuk Pesta Air Kuala Perlis

30/08/2024 10:39 PM

KUALA PERLIS, 30 Ogos (Bernama) -- Acara lumba perahu panjang di Kuala Perlis sudah menjadi tradisi sempena Pesta Air Kuala Perlis sejak tahun 60-an lagi sekali gus memberikan inspirasi kepada Wahab Abdullah, 63, untuk menghasilkan seni halus dalam pembuatan perahu panjang sempena acara tradisi itu.

Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam membina bot serta perahu kayu, Wahab berkata beliau mengambil upah membina sebuah perahu panjang lebih ringan serta menerapkan seni halus yang kemas bagi penghasilan perahu panjang untuk acara pesta air itu bagi penduduk Kampung Pulau Ketam di sini.

"Beza perahu yang saya buat ini, saya akan menghasilkannya dengan teliti dan kemas dengan seni halus yang tak ramai tukang lain boleh buat,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Pulau Ketam di sini baru-baru ini.

Wahab berkata beliau tidak menggunakan paku tetapi hanya menggunakan teknik pasak untuk menjamin ketahanan perahu itu kekal lama dalam pembuatan perahu panjang bersaiz 50 kaki atau 15 meter dan boleh dinaiki antara 12 hingga 14 pendayung itu.

"Kalau guna paku, perahu ini cepat karat dan rosak, jadi saya guna teknik pasak buluh iaitu dengan mencantumkan kesemua bahagian kayu yang dipotong kecil jadi ia boleh tahan kira-kira lebih empat tahun jika disimpan setelah selesai acara lumba perahu," katanya.

Wahab berkata pelbagai jenis kayu boleh digunakan untuk membina perahu panjang itu, namun beliau gemar memilih kayu mendarah kerana ia lebih ringan dan lembut untuk dijadikan perahu panjang.

Beliau berkata dalam menghasilkan perahu panjang itu, kira-kira sebulan diperlukan untuk siap sepenuhnya dan beliau mengambil upah sekitar RM6,500 bagi sebuah perahu.

"Perahu panjang ini akan dihiasi dengan tema yang bersesuaian agar kelihatan lebih menarik dan cantik sempena acara lumba perahu pada bulan September nanti dan penduduk di Kampung Pulau Ketam (di Kuala Perlis) ini akan mengadakan kenduri sebelum acara lumba perahu pada keesokannya," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Shukor Shariff berkata Pesta Air Kuala Perlis 2024 akan berlangsung pada 13 hingga 15 Sept nanti dengan sebanyak 15 kampung di sini termasuk Kampung Pulau Ketam akan terlibat dalam acara lumba perahu panjang itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan