AM > BERITA

Arus Deras, Penglihatan Sifar Sukarkan Pencarian Mangsa Perahu Berlanggar

02/09/2024 10:59 PM

MUKAH, 2 Sept (Bernama) -- Arus deras dan jarak penglihatan sifar menyukarkan usaha mengesan seorang warga emas lelaki yang hilang selepas kejadian dua perahu panjang berlanggar di Batang Oya, Dalat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat berkata beliau dan seorang penyelam bebas komersil menggunakan kaedah selaman skuba bermula 2 petang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Dos Katek, 81.

Beliau berkata terdahulu penduduk kampung memulakan pencarian di dasar sungai menggunakan kaedah onak duri rotan yang ditunda dengan perahu panjang.

"Sebanyak empat selaman dibuat untuk mengesan mangsa namun gagal. Arus sungai yang agak deras dan penglihatan sifar dalam air menyukarkan pencarian,” katanya kepada Bernama malam ini.

Saga berkata selaman dihentikan pada 4.30 petang namun penduduk kampung meneruskan pencarian sehingga waktu senja. 

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 65 penduduk kampung berdekatan yang menggunakan 40 perahu panjang terlibat dalam operasi SAR.

Beliau berkata operasi akan disambung esok pagi dan pihaknya masih menunggu pengesahan kedatangan pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan Polis Marin Bintulu untuk membantu.

Menurutnya, kejadian berlaku lebih kurang 7.20 pagi ketika mangsa mengemudi perahu seorang diri menghala dari Kampung Klid menuju ke Kampung Sua manakala sebuah lagi perahu panjang dikemudi seorang guru dari arah bertentangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan