AM > BERITA

Kerjasama Agensi Berita, Syarikat Teknologi Tangani Berita Palsu Dipacu AI

03/09/2024 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kemajuan berterusan ditawarkan kecerdasan buatan (AI) dengan membuka peluang menarik dalam meningkatkan bidang kewartawanan turut membawa cabaran baharu terutama berkaitan maklumat dan berita palsu. 

Pakar teknologi dan keselamatan Amerika Syarikat (AS) Doowan Lee berkata organisasi media di seluruh dunia termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) boleh memainkan peranan penting dalam memerangi maklumat salah yang didorong oleh AI. 

Lee yang juga Ketua Pegawai Strategi Edge Theory berkata banyak syarikat teknologi tidak sabar untuk mengadakan simposium atau bengkel mengenai AI untuk petugas media bagi memberikan pendedahan tambahan. 

“Itu yang dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan Ukraine dan Taiwan iaitu bekerja rapat bersama  organisasi media mereka untuk membawa masuk syarikat teknologi, pertubuhan masyarakat sivil dan juga pihak berkepentingan.  

“Penting juga untuk belajar daripada individu sebenar yang melakukan ini (syarikat teknologi). Membina perhubungan menjadi kunci untuk mempercepat usaha seperti ini,” kata Lee yang juga ahli Pasukan Petugas Media Sosial di Universiti Georgetown di Washington D.C.

Lee berkata demikian kepada Bernama selepas memberikan taklimat mengenai "Artificial Intelligence, Disinformation, and Social Resilience” di Wisma Bernama di sini hari ini anjuran Bernama dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Seramai 71 petugas dan wartawan Bernama menyertai program dua jam itu yang membincangkan integriti maklumat dalam era AI, pengaruh negatif AI terhadap media sosial dan strategi untuk menggalakkan  integriti media.

-- BERNAMA

 

TAG:


RMBA AAS NDK KK AYU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan