AM > BERITA

JKR Sarawak, KPM Diharap Ambil Langkah Siapkan SK Kampong Baru Kapit

03/09/2024 09:58 PM

KAPIT, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat mengambil langkah yang sesuai bagi membantu menyiapkan projek sakit pembinaan Sekolah Kebangsaan Kampong Baru, di sini secepat mungkin.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kelewatan menyiapkan kerja berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menghantar semula anak mereka di sekolah itu.

Beliau yang telah meninjau projek di bawah kerajaan Sarawak itu semalam berkata proses lantikan semula kontraktor sedang dijalankan dan akan mengambil masa hingga setahun selepas kontraktor asal ditamatkan kontrak kerana gagal menyiapkannya mengikut jadual.

“Saya telah bertemu dengan wakil kontraktor dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerja mereka yang telah menimbulkan kesusahan kepada banyak pihak, terutamanya pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu yang sempat singgah di Pejabat Pendidikan Daerah Kapit sebelum pulang ke Kuala Lumpur dimaklumkan terdapat 49 sekolah di Kapit dengan 45 daripadanya sekolah rendah manakala bakinya sekolah menengah.

Daripada jumlah itu, 14 sekolah di Kapit, Song dan Belaga telah diangkat oleh JKR Sarawak bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan bangunan daif yang melibatkan kos sebanyak RM2.2 juta.

Buat masa ini kerja-kerja telah dimulakan di lima sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan