AM > BERITA

Penipuan Dalam Talian, Pahang Rekod Kerugian Lebih RM 114 Juta

05/09/2024 02:14 PM

KUANTAN, 5 Sept (Bernama) -- Pahang merekodkan sebanyak 5,941 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga Mei lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Sim Chon Siang berkata daerah Kuantan mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding daerah lain melibatkan 2,470 kes dengan kerugian RM51.8 juta.

“Bentong daerah kedua tertinggi dengan mencatatkan kerugian sebanyak RM17.8 juta diikuti Temerloh (RM12.8 juta), Raub (RM7.2 juta) dan Cameron Highlands (RM5.2 juta),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura) yang ingin mengetahui jumlah kes penipuan dalam talian di negeri ini dan nilai kerugian yang dicatatkan bagi 2021 hingga tahun ini. 

Sim berkata pelbagai usaha dilakukan dalam menangani permasalahan itu antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang mengadakan pameran pencegahan kepada semua agensi mahupun kerajaan atau swasta termasuk bekerjasama dengan agensi luar untuk memberikan ceramah berkaitan penipuan jenayah siber. 

“Dalam tempoh Jan hingga Mei 2024, sebanyak 12 pameran dan 86 ceramah pencegahan diadakan di seluruh negeri ini. 

“PDRM Pahang juga menggunakan platform media sosial untuk memberikan maklumat Pencegahan Jenayah Siber dan modus operandi terkini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan