AM > BERITA

Anugerah UN-habitat: MBI Terus Komited Bina Ipoh Berdaya Tahan, Mampan - Datuk Bandar

05/09/2024 10:01 PM

IPOH, 5 Sept (Bernama) -- Program Bandar Ekonomi Donat Ipoh yang meraih Anugerah Skrol Kehormat UN-Habitat 2024, menjadi bukti bagaimana sebuah bandar itu apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, boleh berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kepentingan pencapaian itu, terletak bukan sahaja pada anugerah itu sendiri, tetapi komitmen Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengubah Ipoh menjadi sebuah bandar mampan, inklusif, dan berdaya tahan.

“Ia mencerminkan impak yang kuat dalam menerapkan model Ekonomi Donat, yang mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar, untuk mencapai laluan pembangunan yang seimbang dan mampan.

“Kami berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan kami dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan bersama MBI dan Pusat Kesihatan Planetari Sunway University (SCPH).

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengucapkan tahniah kepada MBI dan rakan kerjasama mereka, kerana kejayaan meraih Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024 bagi Program Bandar Ekonomi Donat Ipoh.

Program Bandar Ekonomi Donat Ipoh merupakan inisiatif bersama melibatkan SCPH, Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT) dan MBI.

Dilancarkan pada Mac 2023 dengan geran daripada Yayasan Hasanah, program itu bertujuan menjadikan Ipoh sebagai ‘Bandar Donat’ yang menumpu kepada pembangunan mampan.

Rumaizi berkata selaras matlamat FLAGSHIP 15 dalam Rancangan Perak Sejahtera 2030, MBI memperkukuh komitmen menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan.

“Ipoh berhasrat untuk menjadi contoh perintis bagi bandar-bandar lain di Malaysia dan ASEAN dalam mengadaptasi model pembangunan bandar yang regenerative dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SCPH Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dalam kenyataan sama berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sunway University, terhadap kesihatan planetari.

“Ia juga sebagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta menonjolkan dedikasi universiti menjadi 'Kampus Dengan Kesedaran,' yang secara aktif memacu penyelesaian lestari dan memupuk warganegara global yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu Program Bandar Ekonomi Donat Ipoh, berdasarkan sembilan prinsip Donat Economy Action Lab (DEAL) telah memenangi Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024.

Ini merupakan kali ketiga Malaysia menerima anugerah ini yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan bandar.

Anugerah tersebut akan disampaikan pada acara Beyond the 2030 Agenda di Queretaro, Mexico pada 8 hingga 10 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan