AM > BERITA

Perlis Hantar 10 Usahawan Sertai MAHA 2024

07/09/2024 03:57 PM

KANGAR, 7 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10 usahawan Perlis akan dihantar menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang dijadual berlangsung selama 12 hari bermula 11 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata kesemua usahawan tersebut akan mengisi  ruang dan platform disediakan di pavilion negeri itu supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan serta produk masing-masing selain berpeluang mewujudkan jalinan serta rangkaian perniagaan yang lebih luas. 

“Pada MAHA 2022, usahawan negeri ini merekodkan kutipan jualan sebanyak RM147,385 dengan Pavilion Perlis menerima kehadiran 27,559 pengunjung sepanjang pameran berlangsung.

“Saya yakin, penganjuran MAHA 2024 kali ini kehadiran pengunjung akan lebih ramai dan dekat dengan masyarakat kerana faktor hebahan yang dibuat secara meluas,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis ‘flag off’ usahawan Perlis ke pameran MAHA 2024 dan Dubai Global Village 2024 di sini hari ini.

Mohd Shukri juga berharap MAHA 2024 akan dapat menarik minat anak muda negeri itu untuk menceburi sektor agromakanan dengan mengaplikasi kepakaran teknologi moden dalam memajukan perniagaan mereka.

Sementara itu, beliau berkata usahawan negeri itu juga akan menyertai Dubai Global Village 2024 bermula 1 Okt ini hingga 30 Mac 2025, yang merupakan kejayaan julung kali bagi enam usahawan Perlis apabila mereka berjaya menembusi pasaran global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan