AM > BERITA

Lebih 500,000 Peserta Terima Manfaat Program eUsahawan

07/09/2024 06:24 PM

KUCHING, 7 Sept (Bernama) -- Sebanyak 564,629 peserta terdiri daripada golongan usahawan dan pelajar di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program eUsahawan dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion sejak ia diperkenalkan pada 2015. 

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh berkata daripada jumlah itu, sebanyak 34,104 usahawan di Sarawak mengambil peluang program berkenaan dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM51.63 juta.

“Peserta meliputi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuching di sini hari ini.

Inisiatif eUsahawan ialah program latihan pembelajaran luaran dan dalam talian untuk melatih peserta dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk serta meningkatkan jualan.

Sementara itu, program JSD yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu dirasmikan Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong. 

Dalam sidang media selepas majlis perasmian, Ugak berkata inisiatif JSD yang memasuki edisi ke-17 tahun ini wajar diperluas ke kawasan pedalaman dan luar bandar negeri bagi memastikan komuniti usahawan khususnya warga emas celik digital sekali gus melonjakkan pendapatan mereka. 

“Saya minta MDEC teruskan JSD supaya rakyat seperti di Bintulu, Miri, Kapit dan Belaga dapat menikmati dan faham (digital) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC),” katanya. 

JSD merupakan kesinambungan daripada Kempen Saya Digital yang diperkenalkan pada 2020 bertujuan membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani ekonomi digital.

Ia menumpukan kepada empat teras utama iaitu "Saya Digital Literasi", "Saya Digital Bisnes", "Saya Digital Freelance", dan "Saya Digital Kerjaya".

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan