AM > BERITA

Selangor Lancar 'ehsan Mart', Tawar Harga Lebih Murah

08/09/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini melancarkan pembukaan pasar raya ‘Ehsan Mart’ yang menawarkan harga barangan asas pada kadar 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding di pasaran.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan pasar raya itu kesinambungan daripada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran PKPS sejak Ogos 2022 supaya rakyat mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Ehsan Mart diperkenalkan sebagai platform jualan yang lebih sistematik dan mampan susulan penerimaan maklum balas sangat positif daripada rakyat.

“Sejak pelancaran JER, lebih 4,000 lokasi di seluruh Selangor telah dilawati dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ehsan Mart pertama di Selayang dekat sini hari ini.

Amirudin berkata pewujudan Ehsan Mart itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk sentiasa proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barang dan keselamatan makanan.

“Ehsan Mart diharap dapat menjadi pendekatan strategik untuk mendekati rakyat serta membantu meringankan beban kos sara hidup … ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata agensi berkenaan merancang membuka 56 cawangan Ehsan Mart di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada lokasi yang berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) sesuai dengan fungsi Ehsan Mart sebagai platform strategik mengedarkan barangan keperluan asas dengan pantas dan berkesan serta memudahkan hal ehwal pengurusan.

“Ehsan Mart juga akan berfungsi sebagai pusat agihan makanan sekiranya berlaku bencana atau keadaan darurat. Ehsan Mart akan dikendalikan oleh anak syarikat PKPS iaitu PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd (PEASB),” katanya.

PKPS ialah anak syarikat kerajaan negeri yang ditubuhkan di bawah Enakmen No.12 1972 (pindaan 1976, 1982, dan 2005), bertanggungjawab memacu sektor pertanian dan agromakanan sejajar perkembangan sosioekonomi rakyat melalui pelbagai projek komersial serta tanggungjawab sosial dan korporat yang berimpak tinggi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi PKPS atau platform media sosial di Facebook.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan