AM > BERITA

Dasar Cerun Negara Baharu Sedang Dirangka - Nanta

09/09/2024 05:53 PM

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya sedang merangka dasar cerun negara baharu bagi menggantikan dasar sebelum ini yang telah tamat tahun lepas, kata menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dasar berkenaan dicadang untuk dikuatkuasakan bermula tahun ini hingga 2035 dengan mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku serta langkah yang lebih proaktif untuk mengurangkan sebarang kejadian seperti tanah runtuh.

“Kita mesti ada satu dasar kebangsaan tentang cerun. Kita tidak mengambil ringan sebab kesannya merugikan. Akibatnya harta benda boleh terjejas dan nyawa pun boleh hilang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Mengenang Negarawan: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng, Negarawan Terbilang di sini hari ini.

Nanta berkata kementeriannya juga telah mengenal pasti cerun mudah runtuh di lebih 1,000 lokasi di seluruh negara dan langkah telah diambil untuk memasang peralatan bagi memantau pergerakan tanah di kawasan-kawasan terbabit.

“Memang ada JKR (Jabatan Kerja Raya) dari dulu pun sentiasa memantau dan mendapati ada beberapa lokasi mungkin mudah terjadi masalah (tanah runtuh) itu. Jadi untuk mengambil langkah yang lebih proaktif, kita memantau dengan lebih rapi,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan