AM > BERITA

Pemuda Autisme Terima Anugerah Khas Di Istiadat Konvokesyen UniPSAS

09/09/2024 09:34 PM

KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Didiagnosis menghidap autsime tidak menjadi penghalang kepada Muhammad Naquib Ajmal Mohd Jamal Nasir untuk melakar kejayaan menerima Anugerah Khas pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini hari ini.

Menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai penyuntik semangat dan motivasi untuk terus berusaha dalam bidang pengajian al-Quran, pemuda berusia 26 tahun itu menzahirkan penghargaan kepada ibu dan bapa serta warga pendidik yang menjadi tulang belakang kejayaannya. 

"Tanpa sokongan dan bantuan daripada mereka tak mungkin saya dapat bergelar graduan dan menerima anugerah hari ini, saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” kata tenaga pengajar di Akademi Syahadah Tahfiz Al-Faizin di Kuala Selangor, Selangor itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Sunnah itu mengakui agak sukar membahagikan masa untuk berlatih tilawah, tajwid termasuk mengulang bacaan al-Quran 30 juzuk yang telah dihafalnya sejak usia belasan tahun.

“Saya berusaha dan belajar macam orang lain, tetapi masa menjadi kekangan utama untuk belajar kerana pada masa sama saya juga menyertai pertandingan hafazan. Saya cuba mengatur dan mengimbanginya dengan baik...hasrat saya selepas ini untuk menyertai pertandingan tilawah pula,” kata anak sulung daripada empat beradik itu. 

Muhammad Naquib Ajmal berkata anugerah itu lebih manis apabila disampaikan sendiri oleh Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah yang berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen itu.

Sementara itu, ibu dan bapa Muhammad Naquib Ajmal, Mohd Jamal Nasir Ismail, 55, dan Anita Elias, 55, ketika ditemui berkata anak mereka diagnosis autisme ketika berusia tujuh tahun dan menganggap kebolehan dimilikinya sebagai anugerah daripada Allah SWT. 

"Dia dahulu tiada eye contact dan lambat dalam pertuturan, anak saya hanya boleh cakap bahasa Malaysia ketika berusia sembilan tahun itu pun tidak lancar namun perkataan dalam bahasa Inggeris dan Arab lebih banyak yang dia tahu.

“Semasa kecil doktor sudah maklumkan kepada kami Naquib mempunyai memori yang sangat bagus, Alhamdulillah dia kini boleh menghafal al-Quran," kata Anita yang juga guru Pendidikan Islam.

 Pada istiadat itu, bekas Mufti Pahang Datuk Dr Abdul Rahman Osman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam selain 443 graduan menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Sementara itu, Naib Cancelor UnIPSAS Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin ketika berucap berkata pihaknya bakal menubuhkan Fakulti Al-Quran dan Sunnah pada Jan 2025.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kajian teliti dijalankan bagi mewujudkan Universiti Al-Quran di Pahang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan