AM > BERITA

Isu Bekalan Air Sawah: Kelantan, KPKM Setuju Siapkan Sistem Pam Kemubu Dan Lemal

10/09/2024 06:49 PM

KOTA BHARU, 10 Sept (Bernama)-- Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju menyiapkan Sistem Pam Kemubu dan Lemal melalui peruntukan berjumlah RM20 juta bagi menyelesaikan isu bekalan air dihadapi petani negeri ini.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pembaikan benteng sementara 'sheetpile' dan kerja-kerja berkaitan di Skim Pengairan Kemubu juga akan dilakukan dengan anggaran kos berjumlah RM15 juta.

"Projek ini merupakan satu daripada tiga pendekatan yang dipersetujui menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-13 bersama KPKM Jun lepas sebagai penyelesaian jangka sederhana.

"Sebelum ini untuk penyelesaian segera, kaedah telaga tiub telah dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 juta dan RM350,000 daripada kerajaan negeri termasuk untuk pemecahan batu hampar bernilai RM1 juta," katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Tapak Rumah Pam Kemubu KADA di sini hari ini.

Menurutnya pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) dengan kos RM700 juta pula akan dilaksanakan bagi penyelesaian jangka panjang sebagai jaminan sumber air yang mencukupi pada waktu kemarau.

Mohd Nassuruddin berkata pendekatan yang diambil secara berperingkat itu dijangka menyelesaikan masalah dihadapi petani.

"Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan perkara ini akan berjalan, insya-Allah dengan pendekatan ini masalah dihadapi petani akan selesai dan kita akan bincang dalam mesyuarat exco minggu ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited membela nasib pesawah bagi memastikan keterjaminan makanan negara terpelihara.

Kemarau yang melanda Kelantan Mei lepas dilaporkan telah menjejaskan sistem pengairan sekali gus memberi kesan kepada hasil tanaman padi dengan sebahagian besar petani mengalami kerugian dan tidak dapat mengusahakan sawah mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesawah Negeri Kelantan (PESAK) Zuha Ismail berkata petani di negeri ini menghargai peruntukan dan kerjasama diberikan dalam menyelesaikan masalah mereka.

"Ini menunjukkan kerajaan Persekutuan dan negeri prihatin serta mengambil berat masalah dihadapi rakyat seperti kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan