AM > BERITA

Pencemaran Bau: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Laksana Pembersihan Sisa Kimia

10/09/2024 09:29 PM

JOHOR BAHRU, 10 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan menggerakkan dan menyelaras agensi terlibat, untuk melaksanakan pembersihan sisa kimia yang dibuang secara haram di dua lokasi yang dikenal pasti di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata lokasi tersebut ialah di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika, di sini.

“Kerajaan Johor memandang serius terhadap kes pencemaran yang berlaku dan jawatankuasa tersebut digerakkan atas arahan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Jawatankuasa ini akan mengerakkan agensi-agensi yang berkenaan dan menyelaraskan tindakan yang wajar termasuk pembersihan sisa buang kimia secara haram dan tindakan pemutihan di dua lokasi itu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Ling berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga telah membuat laporan polis semalam, supaya siasatan dan tindakan tegas dapat diambil, sekali gus menyaksikan penahanan dua suspek pada malam tadi bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Hahasrin Hashim berkata 38 penduduk kampung Orang Asli Pasir Intan di Kota Tinggi yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dipercayai akibat pencemaran bahan kimia di kampung itu sejak Khamis lepas telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Saya diberitahu pihak Pejabat Kesihatan Kota Tinggi sudah suruh (penduduk) pulang ke rumah masing-masing difahamkan pada pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dilapor berkata seorang pemandu lori dan kelindannya, disyaki terlibat dalam kes pencemaran bau dipercayai bahan kimia di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi telah ditahan di kawasan sebuah pangsapuri di sini malam tadi.

Sejak 3 Sept, beberapa siri pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di daerah ini antaranya di Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kawasan Industri Desa Tropika, Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal serta Kampung Plentong Baru.

Bahan kimia yang dipercayai dibuang secara haram turut ditemukan di tebing anak Sungai Plentong di Kawasan Industri Desa Tropika serta Sungai Pandan di Taman Perindustrian Tiong Nam.

Kejadian pencemaran bau turut berlaku di Kampung Orang Asli Pasir Intan di daerah Kota Tinggi yang telah menyebabkan 38 penduduk daripada 11 keluarga terpaksa ditempatkan ke PPS di Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang sejak 5 Sept.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan