AM > BERITA

Karnival Kesihatan SunMed 2024 : Menghubungkan Komuniti Melalui Kesihatan Dan Kreativiti

11/09/2024 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Karnival Kesihatan SunMed anjuran Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) sempena sambutan ulang tahun ke-25 telah menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai peringkat umur.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata karnival yang berlangsung di Lobi Menara D, SMC, Petaling Jaya, pada 8 Sept lepas bertujuan meletakkan piawaian baharu dalam menyatukan komuniti untuk memperluas capaian kepada pendidikan dan kesedaran kesihatan.

"Karnival ini bukan sekadar simbol komitmen berterusan SMC untuk menyediakan kecemerlangan penjagaan kesihatan inklusif dan cemerlang kepada masyarakat tetapi juga berfungsi sebagai ruang menyeronokkan dan menarik yang menghimpunkan orang ramai untuk bersama meraikan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Saya percaya bahawa karnival ini berupaya memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat dan membantu mendidik kepentingan menjaga kesihatan dengan membuat keputusan termaklum ke arah mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi menghubungkan jurang antara penjagaan kesihatan dengan keseronokan, pengunjung karnival berpeluang menikmati pelbagai aktiviti pendidikan bertemakan kesihatan termasuk permainan memori, koordinasi tangan-mata, ketahanan dan lain-lain lagi.

Dr Seow berkata aktiviti interaktif dan bersifat pendidikan itu membolehkan para peserta menjadi lebih peka, tangkas selain mampu memberikan pengalaman pembelajaran bermakna.

Sebagai satu daripada elemen penting dalam warisan budaya Malaysia, para pengunjung juga berpeluang menampilkan kreativiti mereka dalam bengkel seni dan kraf batik, yang diadakan buat pertama kalinya semasa karnival itu. 

“Selain aktiviti mesra kanak-kanak, pendidikan dan bengkel batik, karnival ini turut menampilkan pelbagai reruai saringan kesihatan yang menawarkan pelbagai pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan mata, percakapan dan pendengaran, komposisi badan, kesihatan buah pinggang dan pundi kencing, rehabilitasi fizikal dan penjagaan diabetes,“ katanya sambil merakamkan penghargaan kepada rakan jenama yang telah menyokong penganjuran Karnival Kesihatan SunMed. 

Beliau turut menyatakan harapan agar SMC dapat menganjurkan lebih banyak program komuniti yang menarik dan menyeronokkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan taraf penjagaan kesihatan di rantau ini, terutamanya sempena meraikan ulang tahun ke-25. 

SMC yang ditubuhkan pada 1999 adalah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dan satu-satunya hospital di negara ini yang diiktiraf dengan tiga akreditasi utama, termasuk Gold Seal of Approval daripada Akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia.

SMC juga dilengkapi dengan 28 pusat kecemerlangan merangkumi lebih 60 kepakaran perubatan dan 724 katil berlesen, yang tersebut dijangka bertambah kepada 1,100 katil apabila blok keenam hospital itu siap pada suku keempat 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan