AM > BERITA

Bukan Sekadar Berat Badan Berlebihan, Ancaman Senyap Masalah Obesiti Di Malaysia

12/09/2024 11:41 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Obesiti ialah satu daripada kebimbangan kesihatan yang perlu diketengahkan dengan hampir 20 peratus daripada populasi di Malaysia diklasifikasikan sebagai obes.

Menurut Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dalam kenyataan, Atlas Obesiti Dunia juga meramalkan bahawa jumlah itu boleh meningkat kepada 41 peratus menjelang 2035, justeru penting untuk negara mempunyai strategi pencegahan dan rawatan komprehensif untuk memerangi masalah itu.

"Trend obesiti yang membimbangkan ini seiring dengan peningkatan penyakit kronik yang sememangnya sudah merisaukan dan berasal daripada tiga punca utama kepada pelbagai penyakit, iaitu gula dalam darah, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi dengan lebih setengah juta orang dewasa Malaysia kini hidup dengan keempat-empat penyakit itu," menurut kenyataan berkenaan.

Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman daripada SMCV Dr Lim Kim Piow berkata obesiti bukan hanya mengenai isu fizikal berat badan berlebihan, tetapi juga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang lalu membawa kepada kemerosotan tahap kesihatan.

"Obesiti sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kebimbangan, dan ia boleh menggalakkan tabiat makan berlebihan seterusnya membawa kepada gaya hidup tidak aktif, peningkatan berat badan dan memburukkan keadaan kesihatan," katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata obesiti diklasifikasikan oleh Indeks Jisim Badan (BMI) 27.5 atau lebih adalah antara faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes, strok, serangan jantung, penyakit buah pinggang kronik, gout, apnea tidur obstruktif (OSA) dan penyakit hati berlemak.

Penyakit lain katanya, termasuk batu karang, sindrom ovari polisistik (PCOS), masalah ketidaksuburan, osteoartritis, penyakit radang pelvis (PID), katarak, pankreatitis, kanser, trombosis vena dalam, kemurungan dan kebimbangan.

Dr Lim berkata obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin lalu memaksa pankreas bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi masalah ini dan mengakibatkan hyperinsulinemia (bacaan gula dalam darah melebihi tahap normal).

"Mekanisme ini akhirnya boleh berkembang menjadi pradiabetes dan diabetes jenis 2," katanya dan menambah wanita yang mempunyai sejarah atau menghidap diabetes jenis 2 berisiko lebih tinggi untuk menghidap PCOS, penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti dan menyebabkan gejala seperti haid tidak teratur dan bulu pada muka atau badan berlebihan disebabkan peningkatan paras hormon androgen (hormon lelaki) di dalam badan.

Selain itu, PCOS juga adalah antara punca utama kepada masalah ketidaksuburan akibat ovulasi yang tidak teratur atau ketiadaan ovulasi.

Malaysia dilaporkan mempunyai antara kadar diabetes tertinggi di dunia dengan lebih 3.6 juta rakyat disahkan menghidap diabetes pada 2019 dan Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan angka itu akan meningkat dua kali ganda menjelang 2025 yang memberi kesan kepada kira-kira 7 juta rakyat Malaysia.

Lebih membimbangkan, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes – statistik mendedahkan bahawa dua daripada lima orang dewasa dan 84 peratus daripada golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman SMCV Datuk Dr Foo Yoke Loong berkata obesiti juga boleh meningkatkan risiko masalah kardiovaskular dengan individu obes lebih berkemungkinan untuk mendapat serangan jantung dan mengalami simptom seperti sakit dada, ketidakselesaan badan, pedih ulu hati, rasa loya dan sesak nafas.

Selain itu katanya, obesiti boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular lain seperti kardiomiopati iskemia iaitu otot jantung menjadi rosak akibat bekalan darah yang tidak mencukupi, dan hipertrofi ventrikel kiri, keadaan otot jantung menebal dan kedua-dua keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan jantung.

"Berwaspada terhadap tanda-tanda awal isu kardiovaskular yang berkaitan dengan obesiti. Sakit di bahagian tengah dada yang mungkin merebak ke bahagian tubuh lain seperti tangan kiri, belakang atau leher, merupakan gejala awal sakit jantung," katanya.

Bagi pengurusan dan pencegahan obesiti, Dr Foo menggalakkan pesakit yang obes untuk menjalani sebarang bentuk senaman yang sesuai dengan keadaan mereka, seperti berenang kerana ia senaman universal yang sangat baik terutama bagi individu yang mengalami masalah lutut kerana ia mengurangkan impak dan tekanan pada sendi berbanding berlari.

"Bagi pesakit yang mempunyai penyakit seperti paras gula dalam darah dan kolesterol yang tinggi, menggabungkan perubahan gaya hidup sihat dengan rawatan perubatan adalah penting untuk proses pemulihan lebih cepat," katanya.

Dr Foo berkata mendapatkan diagnosis awal penting kerana kelewatan menerima rawatan boleh membawa kepada pelbagai komplikasi dan kemungkinan untuk mendapat kerosakan jantung kekal kerana diagnosis awal membolehkan pesakit mendapat pilihan rawatan yang kurang invasif, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan kemungkinan untuk mendapatkan hasil rawatan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Dr Lim berkata menguruskan obesiti yang berkesan ialah dengan memahami kesannya terhadap kesihatan individu secara keseluruhan dan pesakit harus mempunyai kesedaran tentang komplikasi yang boleh menjejaskan jantung, otak dan buah pinggang.

Beliau turut menekankan peranan penting genetik dalam obesiti dan masalah endokrin lain yang berkaitan, menggesa orang ramai untuk mengetahui risiko serta mengambil langkah proaktif bagi memerangi masalah obesiti.

"Memberi perhatian kepada tabiat peribadi dan faktor genetik boleh membantu memupuk keazaman dan kecekalan seseorang dalam perjalanan penurunan berat badan serta mengubah rasa bersalah dan kekecewaan kepada strategi penjagaan kesihatan yang lebih berkesan," katanya.

Dr Lim turut mengesyorkan pengurusan makanan dengan menggalakkan mereka yang obes untuk mengikuti diet rendah kalori, rendah karbohidrat dan menjalankan pemantauan kendiri dengan merekod pengambilan makanan melalui jurnal atau aplikasi telefon mudah alih kesihatan dan kesejahteraan yang dipercayai.

Dr Foo turut menyokong pendekatan itu dan menasihati orang ramai untuk mendapatkan nasihat daripada pakar diet bagi mengenal pasti kekurangan atau lebihan dalam diet semasa, dan perubahan tabiat yang mudah seperti mengurangkan pengambilan gula dengan memesan minuman kurang atau tiada gula dan mengelakkan makanan berproses yang tinggi gula, seperti donat, gula-gula dan aiskrim, dapat mengurangkan paras gula darah dengan ketara dan mencegah kemerosotan kesihatan.

Menyertai senaman berkumpulan juga kata Dr Lim, digalakkan agar kekal bermotivasi dan senaman kardio seperti joging, berenang dan berbasikal sangat berkesan dalam meningkatkan kesihatan jantung dan menguruskan obesiti.

"Kekerapan menjalani pemeriksaan kesihatan adalah berdasarkan tahap BMI individu, keadaan kesihatan terkini dan sejarah keluarga serta perlu dilakukan antara setiap tiga bulan hingga setiap tahun," kata Dr Lim.

Memandangkan penyakit paras gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti terus meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, tindakan segera amat diperlukan kerana masalah obesiti boleh dicegah dan diuruskan untuk mengurangkan risiko mendapat pelbagai penyakit.

Strategi utama bagi menangani isu ini termasuk meningkatkan kesedaran diri, menguruskan pemakanan, bersenam dengan kerap, mendapatkan bimbingan profesional serta mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

-- BERNAMA

Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan