AM > BERITA

Taman Tasik Seksyen 7 Dibuka Semula Hari Ini

12/09/2024 05:44 PM

SHAH ALAM, 11 Sept (Bernama) -- Taman Tasik Seksyen 7 di sini, yang sebelum ini ditutup sementara susulan penemuan seekor buaya, telah dibuka semula kepada orang awam hari ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa aktiviti riadah, berjoging, dan berkelah kini boleh dilakukan seperti biasa, sebagaimana sebelum ini.

MBSA turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan dan kerjasama mereka sepanjang tempoh pusat rekreasi itu ditutup.

Sebelum ini, taman tasik itu ditutup sementara dari pukul 8 malam hingga 7 pagi bermula 4 Sept lalu, bagi membolehkan operasi menangkap buaya yang dikesan mendiami kawasan tersebut dilaksanakan.

Buaya tembaga dengan saiz kira-kira 1.68 meter itu kemudiannya berjaya ditangkap setelah memasuki perangkap yang dipasang sekitar pukul 10.30 malam hari yang sama (4 Sept).

Semalam, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan bahawa Taman Tasik Seksyen 7 selamat dan tiada buaya lain dikesan di kawasan rekreasi itu.

Dua perangkap buaya yang dipasang selepas kehadiran reptilia tersebut dikesan pada 4 Sept lalu juga telah dikeluarkan pada Sabtu lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan