AM > BERITA

MOF Sumbang 25 Bot Kepada 10 Kampung Di Hulu Besut

12/09/2024 07:53 PM

JERTIH, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menyerahkan 25 buah bot kecil untuk kegunaan 10 kampung di mukim Hulu Besut di sini, sebagai persiapan menghadapi bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut akan datang.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Ramzi Mansor berkata kesemua bot bernilai RM200,000 itu dapat mempercepatkan operasi pemindahan penduduk di kawasan yang dilanda banjir.

“Diharapkan bot yang mampu memuatkan sehingga enam orang ini akan digunakan sebaiknya semasa musim banjir. Ini adalah satu daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan perkhidmatan diberikan terus kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Bot Bagi Menghadapi Banjir di Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, dekat sini hari ini.

Ramzi berkata sebanyak 10 buah bot diserahkan pada program hari ini manakala 15 buah bot lagi diserahkan pada Oktober.

“Kita juga telah berbincang dengan Majlis Daerah Besut sekiranya bot ini akan digunakan sebaiknya meskipun bukan pada musim banjir seperti untuk membawa pelancong dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan kesemua bot diserahkan kepada Pejabat Daerah Besut.

Sementara itu, beliau berkata selari dengan inisiatif kerajaan memperkenalkan Kampung Angkat MADANI di bawah Belanjawan 2024, MOF telah memilih tiga buah kampung angkat termasuk Kampung Batu 13 di Hulu Besut, dekat sini bagi melaksanakan pelbagai projek dan kemudahan mengikut keperluan.

Menurut Ramzi, pemilihan Kampung Batu 13 itu turut memanfaatkan sembilan buah kampung di sekitarnya dengan jumlah keseluruhan penduduk dianggarkan 5,000 orang.

Selain penyerahan bot, program Kampung Angkat MADANI turut menyaksikan penduduk menerima pelbagai manfaat termasuk pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).

Beliau berkata sebanyak empat PPKB sama ada akan dibina baharu atau atau dinaik taraf daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Hulu Besut iaitu di Kampung Batu 13, Kampung Keruak, Kampung Cawangan dan Kampung Panchor dengan kos setiap satunya RM500,000.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga membina jambatan kecil dan menaik taraf sistem perparitan di Kampung Belaoh bernilai RM100,000, membina gelanggang petanque, sepak takraw, futsal dan kemudahan berkaitan bernilai RM200,000, dan menaik taraf kawasan padang bola di Kampung Belaoh bernilai RM150,000.

Pegawai Daerah Besut Ahmad Nazwawi Harun turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MOF atas sumbangan bot serta memilih kampung di daerah Besut sebagai Kampung Angkat MADANI.

“Kita ada Jawatankuasa Pengurusan Banjir jadi biasanya ia di bawah kelolaan penghulu mukim. Mereka akan tengok macam mana agihan bot untuk membantu operasi pemindahan dan bantuan ketika banjir,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan