AM > BERITA

Sabah Sambut Baik Geran Khas Interim Rm600 Juta

12/09/2024 10:26 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) --Kerajaan negeri Sabah menyambut baik pemberian geran khas interim dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta  daripada kerajaan Persekutuan kepada negeri itu dan Sarawak bermula tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman tersebut pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini hari ini.

Katanya kerajaan telah membayar geran khas interim sebanyak RM300 juta kepada Sabah tahun ini.

"Sabah menyambut baik geran khas interim sebanyak RM600 juta sementara menunggu penyelesaian 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan di negeri itu.

"Ini adalah pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan Sabah dan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada negeri ini," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Anwar dan turut dihadiri timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hajiji turut merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah diselesaikan termasuk penyerahan kuasa mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah pada awal tahun ini serta penurunan kuasa.

"Saya berharap semua isu yang belum selesai akan terus diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan