AM > BERITA

YAPEIM Anjur FSY2024 Kupas Strategi Majukan Ekonomi Islam Asia Tenggara

13/09/2024 05:11 PM

PUTRAJAYA, 13 Sept (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akan menganjurkan Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) pada 1 hingga 2 Okt bagi membincangkan strategi baharu dan inisiatif praktikal untuk memajukan ekonomi serta kewangan Islam di rantau Asia Tenggara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024 Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad berkata forum bertemakan "Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau" itu akan menghimpunkan hampir 60 penceramah serta ahli panel dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata antara topik yang akan dikupas termasuk usaha memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi digital; industri halal dan pelancongan Islam serta pemerkasaan institusi dan agensi Islam.

"FSY2024 mempunyai objektif mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran serta kehendak ekonomi dan kewangan semasa selain merancang pelbagai pendekatan dan strategi berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam.

"Kita juga mahu memperkasakan sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisien dan tadbir urus yang baik selain mengeratkan rantaian dan mewujudkan sinergi ekonomi antara ummah di rantau Nusantara," katanya pada sidang media berhubung penganjuran forum itu di sini hari ini.

Saadiah berkata FSY 2024 diharap dapat memperkasakan pembangunan ekonomi islam di Asia Tenggara terutama ketika rantau ini sedang menikmati kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

"Fokus kami bukan sahaja pada Malaysia tetapi seluruh Nusantara dengan harapan kami dapat memanfaatkan masa yang menarik ini (kemakmuran) dan ketika dunia yakin terhadap ekonomi kita," katanya.

Saadiah berkata 80 peratus ceramah dalam forum itu akan dikendalikan dalam bahasa Melayu sebagai usaha mempromosikan sebagai lingua franca Nusantara namun beberapa sesi pembentangan oleh penceramah luar negara akan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

"Ini bertujuan memastikan penyertaan yang luas dan memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta dari seluruh rantau Nusantara," katanya.

Forum itu dijangka dihadiri lebih 500 peserta daripada seluruh ekosistem ekonomi dan kewangan Islam termasuk sektor infaq dan wakaf.

"Kita memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan aspek yang memberikan sumbangan kepada ekonomi benar. Oleh itu, forum ini turut melibatkan sektor infaq dan kewangan sosial yang sering kali kurang diberi perhatian dalam forum-forum besar," katanya.

Saadiah berkata FSY 2024 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bakal menyampaikan ucaptama dan turut disiarkan secara langsung di laman Youtube YAPEIM TV dan Facebook YAPEIM Official. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan