AM > BERITA

Op Global: Beri Ruang Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan - Saifuddin Nasution

13/09/2024 09:25 PM

KLUANG, 13 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sebaiknya berhubung kes eksploitasi kanak-kanak oleh sebuah syarikat tempatan. 

Beliau berkata proses siasatan dan saringan memerlukan masa yang munasabah kerana melibatkan banyak pihak termasuk polis, pakar psikologi dan kaunseling serta pegawai perubatan sebelum sebarang tindakan boleh diambil. 

"Kita selesaikan satu-satu dulu. Biar polis selesai urusan utama dan langkah berikutnya akan diumumkan bila sampai masa kerana bila polis ambil tindakan, ia berdasarkan empat punca kuasa undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak, jenayah seksual dan sebagainya... jadi biar urusan itu selesai. 

"(Selain itu) bila melibatkan premis perniagaan, ada pihak berkuasa tempatan dan agensi kawal selia yang lain. Jadi siasatan belum disempurnakan... tidak boleh jump the gun. Beri peluang polis selesaikan dahulu (siasatan)," katanya. 

Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap premis syarikat yang dikaitkan dengan kes eksploitasi kanak-kanak ketika ditemui pemberita pada Program Inspirasi Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan beliau agar menyerahkan kes itu untuk dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

“Dalam (mesyuarat) Kabinet, Perdana Menteri kata ini serah kepada KPN. Ini forte dia, you lapor sahaja kepada Kabinet. Jadi KPN sila tunaikan tanggungjawab dengan amanah, profesional (dan) jangan aniaya orang. (Jika) ada bukti kukuh, buat tindakan undang-undang bawa ke muka pengadilan. Itu yang dipesan Perdana Menteri," katanya. 

Razarudin pula berkata saringan kesihatan terhadap kanak-kanak terlibat yang kini ditempatkan di Pusat Latihan Polis dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari kerana proses bagi yang berusia setahun hingga 17 tahun dijalankan secara fizikal dan mental mengikut pembesaran setara mereka.

"Lebih kurang 50 doktor membantu kita melakukan saringan dan pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu dengan kira-kira 50 pegawai mereka," katanya. 

Pada Rabu lepas, polis melancarkan Op Global serta menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Hari ini polis memaklumkan bahawa saringan kesihatan terhadap 13 kanak-kanak terlibat mendapati mereka juga dipercayai telah diliwat. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan