AM > BERITA

Lebih 2,000 Lokasi JENDELA Fasa 2 Di Seluruh Negara Dikenal Pasti - Fahmi

15/09/2024 06:57 PM

SIPITANG, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak 2,700 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai tapak untuk Fasa 2 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata bagaimanapun hanya 10 peratus daripada lokasi tersebut boleh dipasang dengan menara konvensional,  manakala 90 peratus lokasi lagi mungkin akan menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran.

Berikutan masalah kesukaran tersebut, Fahmi berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti dan mengkaji semula lokasi berkenaan serta cara bagaimana untuk melaksanakannya.

"Antara masalah yang dihadapi termasuk bentuk muka bumi yang menyukarkan pemasangan menara, isu bekalan tenaga, dan jumlah penduduk yang tidak terlalu ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pengoperasian Menara JENDELA Fasa 1 di Kampung Menengah Ulu Sipitang hari ini.

Turutr hadir semasa tinjauan itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.G.

Mengulas perkembangan JENDELA Fasa 1, Fahmi berkata masih terdapat baki lebih kurang 105 menara yang belum dibangunkan pihak Syarikat Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT).

"Secara umumnya perjalanannya masih jauh, jadi kita akan terus memantau perkembangan tersebut," katanya.

Beliau berkata beberapa isu dalam JENDELA Fasa 1, seperti menunggu tempoh yang lama untuk menara beroperasi akan diperbaiki dalam JENDELA Fasa 2 nanti, dan kementerian sejak Oktober tahun lepas, telah mengarahkan agar menara-menara yang telah siap, dipasangkan dengan ‘microwave’ supaya penduduk dapat menggunakan internet dengan segera.

Mengenai pengoperasian menara JENDELA Fasa 1 di Kampung Menengah Ulu Sipitang, Fahmi berkata ia telah siap dan mula beroperasi pada 9 Ogos lepas dengan kelajuan melebihi 100 Mbps.

"Saya harap ini akan dapat memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Menengah Ulu Sipitang di Parlimen Sipitang. Satu lagi tapak iaitu di Kampung Sungai Tiga disasarkan akan siap dalam tempoh satu dua minggu lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan