AM > BERITA

Dr Abd Rauf Diumum Tokoh Maulidur Rasul Selangor 2024

16/09/2024 02:42 PM

SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) -- Anggota Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam dan Tahfiz Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Profesor Madya Dr Abd Rauf Hassan diumumkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2024 peringkat Selangor hari ini. 

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan mengurniakan anugerah tersebut pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1446H/2024 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di sini. 

Abd Rauf yang berasal dari Klang diiktiraf atas sumbangan terhadap perkembangan Islam dan pembangunan umat Islam menerusi kepakarannya dalam bidang bahasa Arab dan penyusunan pelbagai mushaf al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’.

Beliau turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan persatuan serta mengganggotai beberapa lajnah dan jawatankuasa antaranya Panel Penggubal Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Arab bagi Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jawatankuasa Pemandu Pendidikan Tahfiz AL-Quran Selangor. 

Beliau yang juga Ketua Jabatan Bahasa Asing Fakuliti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, ketika ditemui berkata penghargaan berkenaan akan dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk terus menyumbangkan kepakarannya dalam pengembangan ilmu al-Quran dan bahasa Arab. 

“Untuk mereka di luar sana khususnya anak-anak muda, sempena sambutan Maulidur Rasul ini kita ambil semangat Nabi Muhammad SAW sebagai contoh untuk mengembangkan, mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran kerana ini yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk kita semua,” katanya. 

Selain trofi dan sijil, Abd Rauf turut menerima wang tunai RM20,000. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan