AM > BERITA

SMC, RCSA Jalin Kerjasama Untuk Kempen 'Save The Heart'

01/10/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia menyalurkan bantuan insentif bernilai RM75,000 melalui usaha sama dengan Rotary Club Shah Alam (RCSA) bagi kempen ‘Save the Heart’.

SMC dalam kenyataan memaklumkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 pusat perubatan itu, 25 individu kurang berkemampuan ditawarkan pakej pemeriksaan jantung percuma manakala 100 lagi penerima terpilih berpeluang menikmati sebahagian daripada insentif yang dijanjikan menerusi Pakej Pemeriksaan Jantung Bersubsidi.

"Inisiatif itu dimeterai dengan acara penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama RCSA bagi menyokong usaha kelab itu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.

“Ekoran penyakit berkaitan jantung yang terus menjadi penyakit pembunuh nombor satu dalam kalangan rakyat Malaysia, SMC terpanggil untuk mengambil bahagian dalam kempen tersebut dengan menekankan kepentingan mendapat akses bagi melakukan pemeriksaan awal,” menurut kenyataan itu.

Kempen ‘Save The Heart’ bermula pada 1 Ogos lepas hingga 31 Okt ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken menerusi kenyataan sama berkata kempen ‘Save the Heart’ yang dimulakan RCSA menawarkan pemeriksaan penting untuk mengesan dan mencegah penyakit jantung yang juga merupakan punca utama morbiditi dan kematian.

Beliau berkata SMC amat komited untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, dan kerjasama dengan RCSA  mencerminkan dedikasi hospital berkenaan bagi memberi impak yang bermakna.

Dr Seow berkata dengan melakukan pemeriksaan jantung, pihaknya menjangkakan lebih ramai individu berpeluang mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang utama.

“Matlamat kami bukan hanya untuk merawat penyakit tetapi juga untuk menggalakkan pengesanan dan pencegahan awal, memperkasakan individu dengan ilmu dan peralatan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata kerjasama untuk kempen terbabit juga merupakan bukti komitmen SMC dalam menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan memajukan kecemerlangan perubatan, sama ada di Malaysia atau di peringkat global.

Sementara itu, Presiden RCSA yang baru dilantik Ruby Siah Shiew Keng mengalu-alukan kerjasama dengan SMC untuk menyediakan pemeriksaan penyakit jantung kepada ahli komuniti yang kurang berkemampuan.

“Penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia, dan melalui kerjasama ini, kami berharap ia dapat membawa perubahan ketara,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan kesihatan masyarakat dengan memastikan ujian saringan tetap boleh diakses sambil memperkasakan komuniti dengan pengetahuan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Siah berkata calon-calon yang layak akan disenarai pendek oleh RCSA berdasarkan hasil soal selidik, pemantauan tanda-tanda vital, dan saringan awal jantung.

SMC adalah sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dilengkapi 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin bagi menyediakan rawatan peribadi dengan pendekatan penjagaan holistik.

SMC turut disenaraikan antara 250 Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024, selain tersenarai dalam kalangan 75 kedudukan teratas bagi kategori Pembedahan Jantung dan Kardiologi dalam penarafan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan