AM > BERITA

FINAS Diminta Kaji Penggunaan Sistem Maklumat Pecah Panggung Korea

02/10/2024 02:44 PM

BUSAN, 2 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) diminta mengkaji penggunaan sistem maklumat pecah panggung Korea (KOBIS-Korean Box Office Information System) yang digunakan di Korea Selatan. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sistem yang digunakan Majlis Filem Korea (KOFIC) sejak 2004 itu adalah berfungsi mendapatkan informasi tepat dan secara masa nyata berkait angka jualan tiket dan penonton filem daripada pihak pawagam. 

“Melalui data dan pelaporan yang tepat, mereka dapat mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh industri perfileman secara keseluruhan.

“Saya melihat keterbukaan dan ketelusan dalam aspek data itu, dan ini adalah satu perkara yang saya telah minta pihak FINAS kaji, teliti dan kita perlu bincang cara ia boleh dilaksanakan di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini FINAS memaklumkan bahawa mereka terpaksa menunggu tempoh yang agak lama untuk mendapatkan laporan yang bukan secara masa nyata berhubung angka tersebut daripada panggung wayang.

Fahmi kini sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Korea Selatan bermula Isnin. 

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Park Kwang-su, Pengerusi Majlis Filem Korea (KOFIC) Han Sang-Jun dan Ketua Pegawai Eksekutif Busan Cinema Centre Kim Jae Hin. 

Katanya dalam pertemuan itu, pihak Busan Cinema Centre banyak memberi cadangan termasuk kerjasama untuk menayangkan filem dari Malaysia menerusi festival filem yang akan dihoskan mereka pada tahun hadapan. 

“Mereka memaklumkan tentang festival filem kecerdasan buatan (AI) pertama yang mereka anjurkan, dan mungkin kita boleh belajar untuk menyertakan filem AI yang telah disiapkan di Malaysia atau mempelajari beberapa aspek teknikal yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

BIFF ke-29 akan membuka tirainya malam ini di sini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan