AM > BERITA

Projek Rumah 17 Keluarga Dari Kampung Iboi Dijangka Siap Mac Tahun Depan

02/10/2024 03:15 PM

BALING, 2 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan perumahan fasa kedua bagi menempatkan 17 keluarga dari Kampung Iboi dekat sini yang rumah mereka dikategorikan berada di zon kuning dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek berkenaan yang dilaksanakan di Kampung Bok Bak telah bermula pada Mac lepas dan setakat ini kemajuan projek adalah 26 peratus.

“Sebelum ini, 12 keluarga yang rumah mereka musnah (dalam kejadian banjir aliran puing di Kampung Iboi) telah dipindahkan ke Kampung Sadek dan baki 17 keluarga akan berpindah ke Kampung Bok Bak.

“Projek perumahan ini dimulakan pada Mac lepas dan setakat ini telah mencapai 26 peratus iaitu satu peratus lebih awal dari perancangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan projek itu di Kampung Bok Bak dekat sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan struktur rumah bagi projek itu membabitkan peruntukan sebanyak RM2.9 juta, manakala kos pengambilan tanah seluas 12 hektar pula melibatkan kos RM600,000.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata Kerajaan Negeri membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang risiko bencana di negeri ini termasuk di Kampung Iboi di sini ekoran perubahan iklim sewaktu peralihan monsun ini.

“Bila berlaku peralihan monsun mulai 24 September lepas, ia membawa hujan lebat yang mengakibatkan aliran kuat air di Sungai Iboi...baru-baru ini air naik rapat ke titi (jambatan Bailey).

“Kerja-kerja mengeluarkan batu-batu dan bahan-bahan yang menyekat aliran air sepanjang lima kilometer bermula dari jambatan Bailey di Kampung Iboi akan dibuat...bila air mengalir lancar barulah tidak mengganggu struktur tebing dan jambatan,” katanya.

Tambah beliau, projek pembinaan Empangan Sabo bagi mengurangkan kesan banjir aliran puing serta pembinaan jambatan kekal menggantikan jambatan Bailey di Kampung Iboi juga sudah ada perkembangan.

“Berkenaan pembinaan Empangan Sabo, sudah ada penandaan lokasi...projek juga sudah dalam peringkat reka bentuk dan kerja pembinaan dijangka dilaksanakan tahun hadapan, manakala projek pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan Bailey akan dibuka tender Januari tahun hadapan,” katanya.

Pada 4 Julai 2022, kejadian banjir aliran puing di Kampung Iboi telah mengorbankan tiga sekeluarga iaitu seorang warga emas lumpuh, anak lelakinya serta menantunya yang sedang hamil empat bulan.

Dalam kejadian itu, 12 buah rumah musnah sementara 17 lagi yang dikategorikan berada di zon kuning iaitu di kawasan berisiko dilanda banjir aliran puing, diarahkan berpindah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan