AM > BERITA

Mangsa Banjir Di PPS Perak Bertambah, Beberapa Tempat Di Selangor, Kedah Pula Dinaiki Air

04/10/2024 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Semasa keadaan banjir di beberapa tempat di Perak bertambah buruk dengan jumlah mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat, beberapa kawasan di Selangor dan Kedah pula mula dinaiki air sejak lewat malam tadi.

Di SELANGOR 1,968 individu daripada 480 keluarga terjejas akibat banjir dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka pagi ini bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata enam PPS tersebut adalah di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang dan Sekolah Kebangsaan Desa Aman.

“Seramai 54 anggota dan pegawai dari empat buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan bagi memantau operasi banjir.

“Pemantauan dijalankan di beberapa lokasi antaranya di sekitar Sungai Buloh iaitu di Jalan Gajah, Merbau Sempak, Kampung Cempedak, Kuang dan Kampung Melayu Subang serta Jalan Tembusu di Bukit Jelutong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, situasi banjir bertambah buruk dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 200 orang daripada 67 keluarga yang berlindung di empat PPS di Daerah Kerian dan Taiping.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding malam tadi dengan 145 orang daripada 51 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor, Matang di Taiping dengan 50 orang daripada 14 keluarga berlindung di PPS berkenaan.

"Di daerah Kerian 39 orang daripada 11 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, manakala di Taiping 81 orang daripada 31 keluarga berlindung di PPS Masjid Al-Wusta Batu 8, Jalan Trong, dan 30 orang daripada 11 keluarga berada di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bembam, Kuala Trong," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula memaklumkan paras air Sungai Perak di Pasang Api di Bagan Datuk berada pada tahap berjaga-jaga dengan bacaan 1.87 meter (m) melebihi paras normal iaitu pada 1.00 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia juga turut memaklumkan kebanyakan daerah antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak, Perak Tengah, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar dijangka mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam.

Di KEDAH, tujuh PPS baharu dibuka semula di daerah Baling menempatkan 199 mangsa, kurang 24 jam PPS terakhir ditutup, semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa daripada 66 keluarga itu ditempatkan di PPS yang dibuka malam tadi dan awal pagi ini. 

PPS yang dibuka ialah SK Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B. 

Kesemua mangsa dari empat mukim itu melibatkan Kampung Charuk Bakap, Kampung Parit Panjang, Kampung Tembak B, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Depan Sekolah, Kampung Siput, Kampung Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Kampung Simpang 3 Sik Jalan Weng, Kampung Banggol Deram, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Lahar. 

Sementara itu, laman web Public Infobanjir JPS memaklumkan Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling melebihi paras bahaya iaitu 37.68m.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan