AM > BERITA

Isu Perubahan Iklim, Tenaga, ESG Inti Pati Pertandingan Debat Anjuran JAS

08/10/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Isu-isu semasa termasuk perubahan iklim, tenaga dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi antara inti pati Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun ini.

Program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memasuki edisi ke-30 itu bakal berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dari 25 hingga 27 Okt manakala acara akhir di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya pada 28 Okt ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS Azuri Azizah Saedon berkata pertandingan itu bertujuan membina keperibadian mahasiswa yang mencintai alam sekitar selain meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemeliharaan alam.

“Perubahan iklim merupakan isu kritikal, jadi kita mahu meningkatkan pengetahuan mahasiswa melalui pembacaan, penyelidikan dan pencarian data supaya apabila menjadi pemimpin kelak, mereka peka dan berfikiran kritikal dalam isu alam sekitar,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata penganjuran pertandingan debat itu mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Debat Universiti Malaysia.

Sementara itu Pengarah Pusat Debat dan Oratori Dunia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mazlena Mohamad Hussain berkata pertandingan debat ini melatih mahasiswa mahir menggunakan sokongan data dan statistik dalam hujahan selain memberi penekanan terhadap isu alam sekitar yang berkait rapat dengan kehidupan.

Beliau berkata berdebat bukan hanya bergantung kepada kata-kata tetapi juga ilmu dan hikmah dalam memberi pandangan.

“Dalam debat kita tidak mahu mahasiswa ibarat tin kosong, bunyi kuat tapi tiada isi. Sudah pasti sokongan data dan statistik yang jelas serta bukti dan pengetahuan terkini diperlukan dalam hujahan debat.

“Oleh itu, mahasiswa dinasihatkan melakukan kajian mendalam dan terperinci. Kriteria markah paling penting adalah isi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan