AM > BERITA

AI Pacu Pertumbuhan Masa Depan Malaysia, Transformasi Industri Dan Perkhidmatan Awam - Gobind

08/10/2024 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemacu utama bagi masa depan industri, perkhidmatan awam dan ekonomi Malaysia, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kemampuan AI untuk meningkatkan produktiviti, menyelaras proses dan mencipta peluang baharu bagi pertumbuhan adalah sangat besar.

“Hal ini memberikan Malaysia peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk mengukuhkan daya saing global kita di samping memastikan pembangunan inklusif untuk semua rakyat.

"Dengan memanfaatkan AI, ia akan mengatasi cabaran mendesak, memodenkan sektor-sektor penting dan menjamin kemakmuran untuk jangka masa panjang,” kata Gobind dalam ucapan pada Hari AI Cisco Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar.

Gobind berkata usaha Malaysia untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh digital bergantung kepada pelaburan yang kukuh dalam infrastruktur digital dan teknologi masa depan, dengan sokongan daripada kerjasama sektor awam dan swasta.

“Menurut Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memanfaatkan perkongsian bersama-sama pemimpin industri dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan terutama akademia dan pemain industri, Malaysia mampu merealisasikan matlamat berkenaan dan mengukuhkan peranan sebagai negara dipacu AI terkemuka di Asia Tenggara,” katanya.  

Beliau berkata Perdana Menteri sebelum ini turut menyatakan bahawa Kerajaan MADANI berhasrat untuk memperkasakan rakyat menerusi keterangkuman digital.

Menurut Gobind, ekonomi digital negara dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun hadapan berbanding 23 peratus pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan