AM > BERITA

Belanjawan 2025: JPS Perlis Harap Peruntukan Tangani Isu Banjir

09/10/2024 04:27 PM

KANGAR, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan pelaksanaan projek pembangunan bagi menangani isu banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan di Kangar dan Arau dalam Belanjawan 2025.

Pengarah JPS Perlis Amir Budiman Abdullah berkata antara kawasan perhatian ialah Kampung Bakau dan Kampung Tok Kandang di Kangar manakala di Arau melibatkan Kampung Titi Besi dan Kampung Kubang Gajah.

Beliau berkata peruntukan khas diperlukan untuk menangani isu berkenaan, antaranya pemasangan pam elektrik kekal sekitar Kampung Titi Besi bagi mengelakkan kejadian banjir teruk dan menjamin keselamatan penduduk.

“Pada masa ini, pam elektrik kekal yang ada hanya di sekitar Kampung Bakau (di Kangar). Itu pun terdapat juga keperluan membawa masuk pam bergerak, dan di kawasan sekitar Kampung Titi Besi turut terdapat keperluan meletakkan pam elektrik kekal,” katanya kepada Bernama.

Amir Budiman berkata penggunaan pam elektrik adalah penyelesaian segera untuk mengatasi isu banjir, memandangkan kaedah tebatan banjir di kawasan berkenaan memerlukan kos tinggi kerana ia kawasan tanah rendah.

“Selain itu, penduduk di kawasan berkenaan juga perlu bersiap sedia kerana itu kawasan tanah rendah, perlu berwaspada terhadap cuaca yang kebiasaannya berlaku hujan luar biasa dan boleh menyebabkan kawasan tumpuan dinaiki air pada bulan September dan Oktober.

“Jadi, mereka perlu memberikan perhatian pada situasi itu bagi mengelakkan harta benda mereka rosak dan mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Ku Chik Ku Mat Esa berkata sebanyak 681 mangsa daripada 207 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini.

Ku Chik berkata antara kampung terjejas banjir ialah Kampung Bakau dan Kampung Tok Kandang di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah dan Kampung Titi Besi di Arau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan