AM > BERITA

Peningkatan Ancaman Dalam Kalangan Wanita Muda Dan Implikasi Kanser Payudara Awal Usia

09/10/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt 9 (Bernama) -- Kanser payudara yang sering dikaitkan dengan wanita lebih tua, kini menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kalangan wanita muda, sekali gus menekankan keperluan meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal bagi memastikan kehidupan lebih sempurna.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kanser payudara merupakan kanser kedua paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita melibatkan lebih 2.2 juta pada 2022 dan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia.

Pakar Perunding Bedah Onkoplastik Payudara Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Teoh Li Ying berkata kanser payudara awal usia atau kanser payudara golongan muda biasanya merujuk kepada kes yang didiagnosis pada wanita berusia 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata kanser payudara awal usia lebih agresif dan mungkin sukar untuk dirawat, kerana ciri-ciri biologi tumor pada wanita muda mungkin berbeza, selalunya berkaitan dengan kadar pertumbuhan kanser lebih cepat dengan risiko tinggi untuk ia berulang walaupun rawatan sesuai telah diberikan.

“Ramai beranggapan cuma individu telah berusia lebih terdedah kepada kanser payudara berbanding dalam kalangan wanita muda. Walaupun kanser payudara masih lazim dalam kalangan wanita berusia lebih 50 tahun, terdapat peningkatan kes dalam kalangan wanita muda, baik di peringkat dunia mahupun tempatan, sekali gus menekankan kepentingan untuk meningkatkan kewaspadaan dan langkah proaktif terhadap kumpulan umur ini,” katanya.

Dr Teoh berkata walaupun umur dan jantina adalah asbab utama kanser payudara pada awal usia, pada masa sama terdapat faktor lain seperti sejarah keluarga, mutasi genetik seperti mutasi gen BRCA-1 dan BRCA-2 serta pilihan gaya hidup seperti pengambilan alkohol dan diet tinggi lemak.

Selain itu, beliau berkata masalah kesuburan, kehamilan lewat, tidak pernah menyusu dan penggunaan pil perancang atau terapi penggantian hormon juga boleh meningkatkan risiko.

“Adalah penting untuk diingatkan bahawa lebih separuh wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara tidak mempunyai faktor risiko boleh dikenal pasti selain daripada jantina dan umur, menunjukkan kepentingan melakukan pemeriksaan secara berkala dan pemeriksaan kendiri,” katanya.

Menurutnya, implikasi diagnosis awal kanser payudara adalah mendalam, dengan wanita muda yang didiagnosis dengan kanser payudara sering menghadapi cabaran unik yang berbeza daripada wanita lebih tua.

“Banyak wanita muda masih berada di puncak kerjaya, banyak yang masih dalam peringkat awal perancangan keluarga atau masih perlu membesarkan anak apabila didiagnosis dengan penyakit ini, ia memberikan beban psikologi sangat besar kepada mereka dan tertekan dengan rawatan diperlukan,” katanya.

Justeru, Dr Teoh berkata pengesanan awal adalah kunci untuk memerangi kanser payudara awal usia dan mengesyorkan memulakan saringan secara berkala pada usia lebih muda.

Beliau juga menyarankan pemeriksaan payudara secara bulanan dilakukan seawal 18 tahun, dan pemeriksaan klinikal sebanyak dua kali setahun bermula pada usia 25 tahun untuk golongan berisiko tinggi.

Dr Teoh turut menasihati golongan wanita untuk melakukan pemeriksaan kendiri secara berkala dan membiasakan diri dengan rupa dan keadaan normal payudara mereka bagi mengesan sebarang perubahan pada peringkat awal.

“Jika terdapat sebarang kelainan, adalah penting untuk merujuk kepada pengamal perubatan profesional dengan segera. Pengesanan awal boleh memberikan impak besar terhadap rawatan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Teoh menyangkal dakwaan bahawa ujian darah boleh mengesan kanser payudara.

Beliau berkata penanda tumor tidak digunakan untuk mengesan kanser payudara kerana ujian berkenaan mempunyai sensitiviti dan spesifik yang rendah, selain imbasan ultrabunyi juga tidak boleh mendiagnosis kanser payudara kerana secara dasarnya ia tidak dapat mengesan mikrokalsifikasi dan kerap berfungsi sebagai pelengkap kepada mamogram dalam kes tertentu.

“Mamogram dianggap sebagai piawaian emas untuk diagnosis kanser payudara. Dalam kes memerlukan susulan, terutamanya bagi wanita muda yang mempunyai tisu payudara lebih padat, imbasan ultrabunyi tambahan mungkin disyorkan untuk penilaian dan pengesahan lanjut,” katanya.

Dr Teoh berkata banyak pesakit takut untuk merawat kanser payu dara lebih awal kerana khuatir dengan rawatan yang perlu dijalani, namun menasihatkan mereka bahawa rawatan bukan terbatas kepada kemoterapi dan radioterapi sahaja.

Katanya, kanser payudara peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan, dengan kadar kelangsungan hidup lebih tinggi apabila dikesan awal.

Beliau menggunakan teknik invasif minimum untuk mastektomi yang dikenali sebagai pembedahan payudara endoskopik, melibatkan potongan kecil biasanya di ketiak atau sekitar puting iaitu melaluinya endoskop dan instrumen pembedahan dimasukkan.

Kaedah ini menawarkan kelebihan seperti parut lebih kecil, pengurangan kesakitan selepas pembedahan, tempoh tinggal di hospital lebih singkat dan pemulihan lebih cepat, katanya.

Selain merawat kanser payudara, Dr Teoh yang juga pakar dalam pembedahan pembinaan semula payudara meyakinkan pesakit yang masih muda supaya jangan takut merawat atau menjalani lumpektomi atau mastektomi.

“Ia boleh dilakukan berserta dengan pembinaan semula payudara semasa pembedahan atau dijalankan selepas tempoh tertentu dengan menggunakan pilihan seperti meletakkan implan silikon atau pembinaan semula menggunakan kulit, lemak atau otot daripada pesakit untuk membentuk payudara,” katanya.

Dr Teoh berkata diagnosis kanser payudara boleh memberi kesan emosi yang mendalam seperti mengalami kebimbangan, kemurungan, dan berasa terasing, dan memerlukan sokongan psikologi untuk mengharungi masa mencabar ini.

Pusat Perubatan Sunway menyediakan pelbagai sistem sokongan untuk pesakit kanser payudara, termasuk perkhidmatan kaunseling, program rakan kanser dan akses kepada sumber untuk menguruskan aspek emosi dan psikologi diagnosis mereka.

“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan wanita dengan pengetahuan, sumber dan sokongan diperlukan dalam menghadapi diagnosis mereka dengan yakin dan berdaya tahan. Kami mahu mereka mendapat sokongan dari segi fizikal dan psikologi sepanjang  menjalani rawatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan