Daripada Kenny Teng Khoon Hock
VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.
Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan di Pusat Persidangan Kebangsaan (NCC) itu mengenai permohonan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan lebih kurang 15 minit ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di NCC.
Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.
Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial