AM > BERITA

JAKIM Diminta Sedia Laporan Video Pelajar Alun Bait Arab

10/10/2024 11:25 AM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung video seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang tular di media sosial baru-baru ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM juga perlu membawa perkara itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri terbabit iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan