AM > BERITA

Lebih 6,000 Kematian Akibat Nahas Jalan Raya Direkodkan Setiap Tahun

10/10/2024 01:34 PM

MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Lebih 6,000 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan setiap tahun dengan purata satu nyawa terkorban akibat nahas berkenaan bagi setiap 80 minit, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Hasbi berkata kemalangan paling kerap berlaku dan membimbangkan adalah melibatkan pengguna motosikal dengan hampir 70 peratus daripada jumlah berkenaan. 

Beliau berkata jumlah kenderaan baharu yang didaftarkan di negara ini pada tahun lepas juga mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 799,000 kenderaan.

"Untuk mencapai matlamat pengurangan 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030, aliran transformasi melalui pemanduan merupakan strategi utama bagi mencegah kemalangan iaitu dengan cara menjadikan kecekapan pemandu atau pengguna mematuhi peraturan keselamatan jalan raya pada tahap optimum.

"Justeru, pelbagai inisiatif yang mampu mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian secara signifikan dalam masa singkat dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Institut Memandu (IM) di negara ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Tadbir Urus Institut Memandu  Malaysia 2024 bertemakan ‘Integriti Latihan Pemanduan Pemacu Keselamatan Jalan Raya' yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Hasbi berkata antara inisiatif atau dasar baharu yang telah dilaksanakan ialah mendigitalkan  industri IM menerusi inisiatif Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik atau  e-Testing bagi membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan.

Melalui sistem ini, beliau berkata prestasi calon diukur menggunakan alat pengesan dan kamera secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses pengujian pemandu.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga membenarkan IM yang memenuhi kelayakan untuk menyediakan fasiliti Pusat Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu atau Ujian Undang-Undang Berkomputer bagi memberi perkhidmatan setempat yang lebih baik dan lancar kepada orang awam.

"Berdasarkan statistik rasmi JPJ, hingga kini terdapat lebih 14 juta pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) terkumpul yang aktif di seluruh negara dan daripada jumlah itu 309,284 LMM Kelas B2 dan 335,827 LMM Kelas D telah dikeluarkan kepada pemohon pada tahun lepas.

"Ini bermakna terdapat lebih 600,000 calon diberikan latihan oleh 245 IM setiap tahun menjadikan industri IM rakan kongsi strategik dan rapat kepada JPJ serta kerajaan dalam membangunkan inisiatif baharu untuk meningkatkan keselamatan serta kesedaran pemanduan di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Hasbi berkata seminar dua hari bermula hari ini tersebut menghimpunkan wakil daripada 245 IM di seluruh negara dan merupakan antara usaha MOT menerusi JPJ meningkatkan tahap integriti, profesionalisme dan keupayaan institut berkenaan dalam melaksanakan tatakelola ke arah menjamin kelestarian keselamatan jalan raya.

"Kali terakhir kita laksanakan seminar seumpama ini pada 2016 dan ia dilakukan bertujuan menjadikan IM sebagai pusat latihan pemanduan lebih berkualiti dalam melahirkan pemandu yang selamat dan cekap," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan