AM > BERITA

Traktor Bagasi Elektrik GTR Kurangkan 1,000 Tan Pengeluaran Co2 Setahun - Loke

10/10/2024 05:57 PM

SEPANG, 10 Okt (Bernama) -- Pelancaran 20 traktor bagasi elektrik di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dianggarkan 1,029 tan setahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu yang diterajui Ground Team Red Sdn Bhd (GTR), penyedia perkhidmatan darat penerbangan utama di Malaysia, menandakan langkah yang lebih meluas ke arah amalan lebih hijau dalam sektor penerbangan.

GTR akan mengendalikan 60 traktor bagasi elektrik, menggantikan hampir separuh daripada 119 traktor berkuasa diesel sedia ada yang digunakan di lapangan terbang di seluruh negara bagi tempoh 18 bulan akan datang.

Loke berkata traktor elektrik berkenaan akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 66.7 peratus dan kos bahan api sebanyak 43.5 peratus bagi setiap kenderaan.

"Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab terhadap alam sekitar dan penjanaan ekonomi boleh berjalan seiring," katanya pada majlis pelancaran 20 traktor bagasi elektrik hari ini.

Beliau berkata peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) di lapangan terbang bergantung kepada infrastruktur tenaga bersih dan kemudahan pengecasan.

 "Kami perlu memastikan titik pengecasan yang mencukupi untuk menyokong jumlah EV yang semakin meningkat," katanya.

Loke juga menekankan kepentingan menggabungkan pemasangan tenaga elektrik dalam pelan pembangunan lapangan terbang, seperti peluasan lapangan terbang Subang dan Pulau Pinang. 

Beliau berkata sumber elektrik yang menggerakkan kenderaan lapangan terbang seharusnya dijana daripada tenaga bersih atau mesra alam.

"Bagi traktor bagasi elektrik GTR, beralih kepada elektrik sahaja mengurangkan pelepasan karbon sebanyak dua pertiga, tetapi kami boleh sasarkan lebih tinggi dengan menggunakan tenaga bersih untuk mencapai pelepasan (karbon) sifar," katanya.

Loke menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri penerbangan seperti syarikat penerbangan, pengendali kemudahan darat, pengendali lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan untuk mengambil inspirasi daripada projek tersebut.

Kita semua mesti meneroka projek yang sama, melabur dalam teknologi hijau dan bekerjasama ke arah kelestarian," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan