AM > BERITA

An-Nur Care Sediakan Perlindungan Perubatan Percuma Kepada Lebih 500 Asnaf

10/10/2024 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengendali takaful keluarga, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) melancarkan An-Nur Care iaitu inisiatif perintis yang akan menyediakan perlindungan perubatan pesakit luar secara percuma kepada lebih 500 individu daripada keluarga asnaf.

PruBSN dalam kenyataan hari ini berkata An-Nur Care menawarkan perlindungan perubatan asas iaitu konsultasi dan rawatan daripada pegawai perubatan selama 12 bulan dengan had tahunan keseluruhan sebanyak RM300.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen PruBSN dan Waqaf An-Nur bukan sahaja memberikan bantuan segera tetapi juga untuk memacu perubahan positif jangka panjang dalam komuniti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menyebut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 61.5 peratus rawatan pesakit luar dibayar sendiri oleh pesakit atau ahli keluarga mereka dan sekitar 12.9 peratus rakyat Malaysia tidak mendapatkan rawatan perubatan disebabkan kekangan kewangan.

“Ini menunjukkan bahawa akses kepada penjagaan kesihatan masih lagi satu cabaran terbesar bagi keluarga berpendapatan rendah terutamanya dalam kalangan komuniti terpinggir seperti golongan asnaf,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail dalam kenyataan sama berkata An-Nur Care akan menguatkan komitmen PruBSN untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan diperluas kepada mereka yang sangat memerlukan.

“Kerjasama dengan Waqaf An-Nur didorong oleh komitmen bersama terhadap pembangunan lestari. Misi PruBSN sentiasa tertumpu kepada memperkasakan individu dan komuniti dengan menyediakan perlindungan untuk semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur Bukhari Abdul Rahman berkata pihaknya percaya impak positif yang berpanjangan dalam sektor kesihatan dapat dicapai dengan menangani punca asas rakyat dalam mengakses penjagaan kesihatan.

"Kerjasama dengan PruBSN mengukuhkan misi bersama kami untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang yang berkesan bagi golongan terpinggir, memastikan kelestarian bukan sekadar konsep tetapi realiti yang dialami oleh komuniti seperti kumpulan asnaf,” katanya.

Beliau berkata PruBSN dan Waqaf An-Nur berhasrat untuk mengembangkan lagi inisiatif itu bagi membantu komuniti asnaf dan memastikan lebih ramai memperoleh manfaat.

Pelancaran An-Nur Care selaras dengan usaha PruBSN untuk menyokong agenda kelestarian negara  seperti Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat yang telah memberikan perlindungan hayat kepada 300,000 orang daripada segmen B40 tahun ini.

PruBSN komited untuk memperluas tawaran takafulnya bagi memenuhi keperluan komuniti yang terpinggir, menangani kedua-dua keperluan kesihatan segera dan jangka panjang mereka menerusi inisiatif yang disasarkan dan inklusif.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan