AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Kedah Dan Perlis Bertambah Pagi Ini

11/10/2024 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan peningkatan pagi ini berbanding malam tadi, manakala bilangan mangsa di Perak kekal.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 3,655 orang daripada 1,163 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 3,496 orang daripada 1,126 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa itu ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

“Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,697 orang daripada 517 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kubang Pasu yang mencatatkan seramai 870 orang daripada 307 keluarga dipindahkan di lapan PPS.

“Sementara di Pokok Sena melibatkan 574 orang daripada 200 keluarga di lima PPS dan Pendang merekodkan 514 orang daripada 139 keluarga di dua PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah mangsa banjir di PERLIS pula tidak menunjukkan perubahan ketara apabila meningkat kepada 519 orang setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 518 mangsa malam tadi. Kesemua mangsa kini masih ditempatkan di empat PPS di Arau dan Kangar.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata empat PPS itu ialah Kolej Vokasional Kangar dan SK Sena bagi kawasan daerah Kangar manakala SK Kubang Gajah dan SK Arau di daerah Arau.

"Kawasan yang masih terjejas banjir antaranya Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah, Kampung Banat dan Kampung Behor Gelam di Arau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal 136 orang daripada 40 keluarga yang berlindung di dua PPS di Kerian.

“Seramai 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat berkenaan.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan hari ini memberi amaran mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di enam negeri hingga 11 pagi ini.

Menurut MetMalaysia, cuaca itu diramal melanda negeri-negeri di utara semenanjung iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah melibatkan kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang).

Keadaan sama juga diramal berlaku di Selangor iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat.

Turut diramal mengalami cuaca sama ialah Sarawak melibatkan kawasan di Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan